Harian Metro

Peniaga disamun ‘sarjan’ RM8,000

-

Beaufort: Pemilik gerai makan kerugian RM8,000 selepas disamun dua lelaki dikenali sebagai ‘tuan’ dan ‘sarjan’ di Pekan Kuala Penyu, dekat sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, dua lelaki terbabit mendakwa sebagai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebelum menyamun peniaga lelaki berusia 29 tahun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superinten­dan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati, mangsa adalah pengusaha gerai makanan beroperasi dari jam 10 pagi hingga jam 2 pagi dan ketika kejadian, ternampak Perodua Alza berhenti di depan kedainya.

“Suspek mengetuk pintu kedai dan memberitah­u mereka polis sebelum memaklumka­n konon kedai mangsa menjual dadah lalu mangsa digari serta dibawa masuk ke dalam kedai,” katanya di sini, semalam.

Azmir berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 30 minit dan mangsa disoal siasat oleh suspek yang bertanya di mana dadah itu disembunyi­kan.

“Mangsa memberitah­u dia tidak menyimpan syabu dan suspek mengatakan ‘mahu cara lembut atau kasar’ sebelum mengambil plastik hitam serta menutup kepala mangsa.

“Suspek meninggalk­an mangsa dalam keadaan tangan bergari dan hanya diselamatk­an jam 4.30 pagi ketika pelanggan datang ke kedai itu membeli rokok.

“Mangsa kemudian meminta bantuan menghubung­i polis dan mendapati wang tunai RM3,000 bersama enam telefon pintar pelbagai jenama serta rantai dan dokumen peribadi hilang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek berusia 30-an dan ketika kejadian mereka tidak memakai penutup muka serta memanggil masing-masing dengan panggilan ‘tuan’ dan ‘sarjan.’

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpula­n,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia