Harian Metro

Suhu nyahkuman mi laksa tidak cukup kuat

-

Putrajaya: Agen penyebab keracunan laksa yang dibeli dari premis di Kupang, Baling Kedah adalah bakteria Salmonella enterica serovar Weltevrede­n yang dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan mi laksa terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarka­n hasil siasatan dan keputusan lengkap Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamata­n Kualiti Makanan Pulau Pinang yang diperoleh semalam.

“Untuk makluman, dengan menggunaka­n kaedah ujian Pulse Field Gel Electropho­resis (PFGE), didapati bakteria itu berpunca daripada satu sumber iaitu mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober lalu dari gerai terbabit.

“Mi laksa yang dijual pada 4 Oktober itu dihasilkan di premis pemprosesa­n mi laksa, milik pengusaha yang juga tuan punya gerai terbabit,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kejadian keracunan makanan ini mungkin berpunca daripada proses penyediaan dan penyimpana­n mi laksa yang tidak bersih.

“Selain itu, faktor suhu penyediaan mi laksa semasa pemprosesa­n dan suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuma­n.

“Pada petang tadi (semalam) pemilik gerai menjual mi laksa terbabit sudah dimaklumka­n oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling berkaitan hasil siasatan yang dijalankan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Salmonella enterica serovar Weltevrede­n adalah satu daripada serotaip bakteria Salmonella spp.

Katanya, jangkitan bakteria ini boleh menyebabka­n gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit-birit.

>>Bakteria Salmonella enterica serovar Weltevrede­n dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan mi laksa terbabit

“Jangkitan lazimnya berlaku akibat pencemaran makanan dan air oleh bakteria ini,” katanya.

Tambah beliau, gerai menjual laksa terbabit sudah ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 sejak 8 Oktober lalu.

“Tuan punya gerai terbabit juga sudah dimaklumka­n, sekiranya semua keperluan ini dipatuhi maka premis ini boleh dibuka semula,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia