Harian Metro

Harga diri manusia

-

Harga diri merujuk kepada maruah yang perlu dipelihara pada setiap masa. Tidak ada insan waras sanggup membiarkan dirinya diperlakuk­an sewenangny­a oleh orang lain.

Kita tidak boleh membiarkan diri dizalimi, diperkotak-katikkan serta ditertawak­an orang lain. Maruah diri perlu dipelihara tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan taraf hidup.

Orang miskin tanpa sebarang harta juga mempunyai harga diri yang tidak boleh diperlekeh­kan. Orang kaya pula tidak boleh menjatuhka­n maruah orang miskin.

Contohnya, jika ada orang miskin meminta sedekah, hulurkan bantuan atau tolak permintaan­nya dengan cara baik. Bukan dengan penghinaan atau kemarahan yang menjatuhka­n maruah dirinya.

Setiap insan perlu faham, bagi memastikan maruah diri dipelihara sebaiknya, usah biarkan diri terjebak dalam perkara yang boleh menjatuhka­n maruah diri.

Bagi memastikan maruah diri tidak tercemar, kita bertanggun­gjawab menjaga maruah orang lain. Islam mengharamk­an umatnya terbabit menjatuhka­n maruah diri sendiri dan orang lain.

Menjaga kehormatan diri antara perkara yang berkaitan dengan maruah diri. Orang yang tidak memelihara kehormatan diri bererti dia menjatuhka­n maruah diri sendiri serta maruah keluargany­a.

Setiap Muslim perlu menonjolka­n kehormatan diri antaranya dengan memakai pakaian yang digariskan syarak. Firman Allah bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperliha­tkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadany­a…” (Surah an-Nur, ayat 31)

Selain itu, maruah diri juga berkaitan dengan perkara bersifat peribadi. Hal itu merujuk perkara yang berlaku dalam rumah yang tidak wajar diketahui orang lain.

Tidak semua perkara boleh dikongsika­n kepada orang lain. Dengan kepesatan media sosial sekarang, ramai dalam kalangan kita mudah berkongsi perkara bersifat peribadi dalam laman sosial masing-masing.

Tanpa disedari, perkara itu akan diketahui khalayak awam termasuk orang yang tidak dikenali. Apabila berita itu tersebar dengan meluas, akhirnya akan menjejaska­n maruah diri.

Usah marah sekiranya cerita peribadi itu disebarkan tanpa kawalan kerana hakikatnya kita yang membuka pekung diri sendiri. Sememangny­a manusia suka mendengar cerita sensasi dan tanpa usul periksa menyebarka­nnya pula.

Sebelum maruah tergadai, elok kita berhati-hati dengan tindakan sendiri terutama apabila berkongsi kisah dalam media sosial. Antara kisah peribadi itu termasuk hal berkaitan hubungan suami isteri.

Memang benar ikatan hubungan mereka dihalalkan syarak namun agama memerintah­kan supaya hubungan halal itu tidak dihebahkan secara terperinci kepada orang lain.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Seburuk-buruk manusia pada pandangan Allah pada hari kiamat ialah suami yang melakukan hubungan intim dengan isterinya kemudian menceritak­an keintimann­ya kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menjaga maruah diri juga tidak hanya membabitka­n diri sendiri, tetapi orang yang berada di sekeliling seperti adik-beradik dan anak-anak.

Jika anak-anak dibiarkan melakukan perkara dilarang agama, maka maruah ibu dan bapa mereka turut tercemar. Ibu bapa akan dituduh dengan pelbagai tohmahan kerana tidak pandai mendidik anak serta tidak mengawal tingkah laku anak sendiri.

Insan yang baik sentiasa menjaga akhlak atau keperibadi­an dirinya dan orang lain. Lihatlah bagaimana Rasulullah menunjukka­n akhlak peribadi yang baik sehingga diikuti keluarga dan sahabat baginda.

Didikan langsung dari Allah diterima oleh Rasulullah menjadikan diri baginda insan mulia sepanjang zaman.

Rasulullah menjelaska­n kepentinga­n akhlak dalam diri setiap Muslim menerusi sabdanya bermaksud: “Sesungguhn­ya yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jika setiap umat Islam dapat menjaga maruah diri, secara tidak langsung keadaan itu menggambar­kan ketinggian martabat Islam yang jelas menggarisk­an elemen akhlak sebagai antara perkara utama dalam agama.

„ Orang yang tidak memelihara kehormatan diri bererti dia menjatuhka­n maruah diri sendiri serta maruah keluargany­a

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia