Harian Metro

Gertak bunuh, rampas kereta

- Hafidzul Hilmi Mohd Noor cnews@nstp.com.my

„ Lelaki rugi RM400 disamun kumpulan pembuli jalan raya Suspek meminta mangsa dan pekerjanya mengeluark­an duit dan barang berharga. Antara barang yang diambil ialah wang tunai RM400 dan telefon bimbit”

Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff

Seorang lelaki kerugian RM400 selepas diperas ugut sekumpulan lelaki dalam kejadian buli jalan raya dan samun di Tol Batu 11, Kajang di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.55 malam, mangsa yang menaiki pacuan empat roda bersama dua pekerja warga asing turut cedera ditampar kumpulan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Persona dinaiki empat lelaki secara tiba-tiba menukar lorong dari kanan ke kiri jalan.

“Mangsa yang berada di lorong kiri tidak sempat memberhent­ikan kenderaan sebelum melanggar belakang kereta suspek.

“Kejadian itu menyebabka­n kedua-dua kenderaan berkenaan berhenti sebelum pemandu Proton Persona keluar dan memarahi pengadu sebelum menariknya keluar daripada kereta,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pengadu meminta maaf kerana takut, tetapi suspek menampar muka pengadu beberapa kali.

“Suspek juga meminta ganti rugi RM1,000, tetapi mangsa memberitah­u tiada duit sebanyak itu.

“Suspek yang tidak berpuas hati dan mahu menyimpan kereta mangsa sebagai cagaran, tetapi pengadu enggan sebelum menghubung­i majikannya untuk meminta bantuan,” katanya.

Menurutnya, mangsa diarah membuat laporan polis, tetapi suspek tidak bersetuju dan mengugut menahan serta membunuh mangsa jika tidak memenuhi permintaan­nya.

“Suspek meminta mangsa dan pekerjanya mengeluark­an duit dan barang berharga.

“Antara barang yang diambil ialah wang tunai RM400 dan telefon bimbit,” katanya.

Menurutnya, mangsa tidak cedera dan cuma sakit di muka akibat ditampar suspek.

“Semua suspek dikenal pasti dan gerakan mengesan mereka dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia