Harian Metro

Tak mampu tanggung beban pelarian Rohingya

-

Singapura: “Myanmar tidak boleh mengatakan isu etnik Rohingya sebagai masalah domestik semata-mata kerana Malaysia turut menerima tempiasnya,” kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Mohamad berkata, buat masa ini, ada lebih 100,000 pelarian Rohingya di Malaysia dan tidak semuanya berdaftar dengan Pesuruhjay­a Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Malaysia tidak mampu menanggung beban pelarian yang begitu ramai,” katanya.

Mohamad yang berada di sini selama tiga hari mengulangi penegasan hubungan pertahanan yang baik dengan Singapura dalam lawatan pengenalan diri ke republik ini.

Beliau menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 yang dihoskan Singapura selama dua hari berakhir, kelmarin.

Dalam pertemuan dengan rakan sejawatan dari Myanmar, Mohamad berkata, beliau memberi pandangan supaya ada usaha membenarka­n pelarian itu pulang ke Myanmar.

“Pihak kedutaan (Myanmar) hendaklah mencari jalan mengusahak­an supaya mereka pulang ke tempat asal mereka,” katanya.

Tambahan pula, beliau berkata, Malaysia turut membantu Bangladesh atas dasar kemanusiaa­n membuka hospital medan di Cox’s Bazar sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, setakat ini, ada negara yang membantu Malaysia termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Brunei.

“Banyak lagi negara yang akan membantu...sekarang kita di peringkat perundinga­n dengan mereka,” katanya tanpa mendedahka­n negara berkenaan.

Pada Perhimpuna­n Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-73 baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menempelak kerajaan Myanmar berikutan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Rakhine.

“Saya percaya untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara. Tetapi, adakah dunia melihat pembunuhan beramai-ramai dilakukan dan tidak berbuat apa-apa?,” katanya.

Perdana Menteri berkata, tindakan kerajaan Myanmar itu yang dinafikan Aung San Suu Kyi mengakibat­kan kehilangan nyawa, musnah kediaman. - BERNAMA

 ??  ?? MENTERI pertahanan ASEAN bergambar selepas ADMM ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 di Singapura, semalam.
MENTERI pertahanan ASEAN bergambar selepas ADMM ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 di Singapura, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia