Harian Metro

Airbnb bantu jana pendapatan RM5.6 juta

-

Kuala Lumpur: Airbnb, syarikat hospitalit­i berasaskan komuniti terkemuka dunia berjaya membantu lebih 800 warga emas di Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas menjana pendapatan lebih RM5.6 juta.

Kejayaan itu dicapai melalui usaha golongan terbabit yang menjadi hos di Airbnb dan menerima lebih 26,700 tetamu dari seluruh dunia sepanjang tahun lalu.

Pengarah Serantau, Asia Pasifik Airbnb, Siew Kum Hong berkata, Airbnb bangga menjadi platform yang menyediaka­n peluang yang tepat, mampan dan pelbagai untuk pelancong dari semua lapisan masyarakat.

“Kami amat gembira untuk melihat trend perjalanan dinamik untuk kedua-dua hos dan tetamu di rantau ini dan berharap untuk memberi khidmat terbaik dalam perniagaan ini,” katanya pada kenyataan, di sini.

Pendapatan tambahan hasil daripada menjadi hos kepada tetamu di Airbnb membantu golongan ini menjalani kehidupan dengan lebih baik dalam membiayai kos sara hidup.

Kaji selidik global hos Airbnb mendapati hampir separuh daripada kumpulan umur warga emas menyatakan mereka mampu untuk tinggal di kediaman mereka atas bantuan hasil daripada menjadi hos.

Selain itu, 41 peratus lagi berkata mereka bergantung kepada pendapatan Airbnb untuk menyara kehidupan.

Lee, hos Airbnb berusia 78 tahun yang tinggal di Ipoh, Perak berkata, menjadi hos Airbnb memberikan kepuasan kerana beliau dapat bertemu pelbagai golongan dari seluruh dunia.

“Menjadi hos memastikan fizikal dan mental saya sentiasa cergas kerana beban tugas saya berkuranga­n sejak lima tahun lalu.

“Selain itu, menjadi hos di Airbnb turut membantu kewangan saya dengan memberikan akses kepada pengembara tempatan dan antarabang­sa,” katanya.

Kumpulan hos warga emas adalah kumpulan yang berkembang cepat di Malaysia dengan pertumbuha­n tahunan sebanyak 51.37 peratus daripada 584 hos warga emas pada September 2017 kepada 884 hos warga emas pada bulan September 2018.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia