Harian Metro

Figueroa kecewa gagal mara ke final

- Rizar Mohd Noor sukanteam@nstp.com.my

Johor Bahru: Perasaan kecewa jelas terpancar di wajah pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa selepas pasukan itu gagal mara ke pentas akhir Piala Malaysia untuk mempertaha­nkan kejuaraan musim lalu.

JDT terpaksa akur dengan kegagalan itu walaupun melakar keputusan seri 2-2 dengan Terengganu FC (TFC) kelmarin, namun skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim mara dengan agregat 3-2.

Sebelum ini, TFC menang 1-0 ketika aksi separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, 6 Oktober lalu.

Dalam aksi kelmarin, JDT mendahului 2-0 hasil jaringan penalti Fernando Marquez pada minit ke-40 serta jaringan Gonzalo Cabrera pada minit ke-62. Namun, kapten TFC, Kipre Tchetche merapatkan jurang pada minit ke-68 dan menyamakan kedudukan pada minit ke-89.

Bagi Figueroa, pemain JDT sudah memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu selepas menguasai keseluruha­n permainan dan sering memberi tekanan ke kubu TFC, tetapi gagal menterjema­hkan peluang terhidang dengan jaringan.

“Memang kecewa kerana gagal untuk layak. Tetapi itu sudah suratan dan apa yang berlaku adalah pengajaran buat kami, malah dalam permainan bola sepak macam-macam boleh berlaku. Kami harus terima hakikat malam ini (kelmarin) bukan malam JDT.

“Walaupun menguasai permainan dan kerap menekan benteng TFC, tetapi kami tidak meletakkan bola di dalam gol. Itu yang menjadi punca utama perjalanan kami dinoktahka­n dan saya sendiri memohon maaf kepada penyokong dengan kegagalan itu.

“Kami mencipta dua gol untuk berada dalam kedudukan agregat 2-1, namun gagal mempertaha­nkan jaringan itu selepas TFC menjaringk­an gol untuk mengikat agregat 2-2. Kami cuba memberi tekanan untuk memburu gol, tetapi sudah kesuntukan masa.

“TFC tidak menguasai permainan, sebaliknya sepanjang 90 minit, mereka hanya ada empat peluang melakukan serangan dan berjaya menjaringk­an dua gol.” katanya.

Namun, Figueroa enggan menyalahka­n pemainnya kerana gagal mempertaha­nkan gelaran, sebaliknya bersikap profesiona­l.

Ditanya kelibat Fernando Marquez yang tampak kurang cergas selepas pulih daripada kecederaan muka dan terpaksa beraksi memakai topeng, Figueroa berkata, pemain itu sudah memberi yang terbaik dan kerap mencemaska­n benteng skuad Penyu.

“Keputusan dibuat untuk menyenarai­kan Marquez dalam kesebelasa­n utama kerana sepanjang sesi latihan dia begitu komited untuk membantu JDT dan ia terbukti pada aksi menentang TFC, tetapi nasib tidak menyebelah­i pemain itu," kata Figueroa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia