Harian Metro

TAUKE GIM PARAH DITEMBAK

Pemilik gimnasium, pekerja parah ditembak suspek guna pistol semi automatik

- Faliq Lajim cnews@nstp.com.my

Seorang pemilik gimnasium dan seorang juruteknik parah ditembak dalam kenderaan mewah di Jalan Bukit Kemuning, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 45 tahun yang memandu kereta Audi Q7 dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 43 tahun yang juga pekerjanya ditembak di dalam kenderaan mewah berkenaan dipercayai menggunaka­n pistol semi-automatik.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata, pada mulanya, pihaknya dimaklumka­n ada kemalangan jalan raya membabitka­n kenderaan yang terbabas ke dalam longkang di lokasi kejadian.

“Namun setibanya Unit Kereta Peronda (MPV) di tempat kejadian kami mendapati ia membabitka­n kes cubaan bunuh apabila ada kesan peluru pada kereta.

“Kami masih menyiasat punca kejadian namun maklumat diterima mengatakan suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda (4x4). Selain itu, kami menemui tujuh kelongsong peluru di tempat kejadian.

“Kedua-dua mangsa dan pembantuny­a dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihak polis masih menjalanka­n siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Kami sedang kaji kamera litar tertutup (CCTV) yang mungkin membantu polis mengesan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, semalam hari ulang tahun kelahiran abangnya.

Katanya, abangnya itu difahamkan menuju ke sebuah kedai untuk membeli lampu bagi gimnasium kedua yang akan dibuka tidak lama lagi di lokasi berdekatan.

“Selalunya pagi saya akan ikut. Hari ini, saya sedikit lambat tak sempat nak ikut.

“Abang saya bukan seorang yang jenis suka cari gaduh dan bertengkar. Saya percaya ini bukan disebabkan perniagaan gimnasium yang diusahakan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Amber, 40-an berkata, ketika kejadian beliau bekerja di pejabatnya yang terletak bersebelah­an lokasi kejadian.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti kereta terbabas. Apabila saya keluar saya lihat ada kereta di dalam longkang.

“Bila saya keluar, saya lihat ada dua lelaki meminta tolong di dalam kereta. Orang ramai kemudian cuba membantu mangsa,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib (tengah) melihat keadaan kereta di lokasi kejadian. KEADAAN kereta dinaiki mangsa dan pekerjanya yang terbabas di dalam longkang di Jalan Bukit Kemuning, semalam.
KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib (tengah) melihat keadaan kereta di lokasi kejadian. KEADAAN kereta dinaiki mangsa dan pekerjanya yang terbabas di dalam longkang di Jalan Bukit Kemuning, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia