Tiada istilah tiada masa
Tiga tahun lalu bermulanya fasa baru seluruh hidupnya apabila dia menyertai program kecergasan berkumpulan dan dengan disiplin yang tinggi, dia berjaya menurunkan berat badan hingga mendapat berat ideal.
Baginya, tiada istilah tiada masa. Disebabkan itulah, dia menjadikan senaman sebagai rutin wajib selain menjaga pemakanan seimbang dan minum air kosong secukupnya untuk mengekalkan stamina.
“Dari segi regim penjagaan kecantikan pula, tiada amalan khusus sebaliknya saya memastikan tidur yang cukup setiap hari selain sentiasa positif dan gembira.
“Disebabkan kulit wajah jenis berminyak dan senang berjerawat, saya pastikan membasuh muka secara teratur dengan pencuci muka, diikuti menggunakan pelembap.
“Seminggu sekali saya akan memakai topeng muka untuk meremajakan kulit. Selain itu, untuk melebatkan bulu mata, saya letak sedikit jeli petroleum di kelopak mata,” katanya.
Walaupun menjaga kecantikan luaran penting, baginya makanan yang diambil turut mempengaruhi kecantikan keseluruhan tubuh.
Katanya, pengambilan buah dan sayur yang banyak mengubah keadaan kulitnya terutama tomato dan ceri. Selain itu bagi memastikan kulit sentiasa anjal dan segar, dia pastikan meminum sekurangkurangnya tiga liter air sehari.
Menurutnya, senaman juga penting untuk kesihatan keseluruhan, dan disebabkan itu dia mengamalkan rutin 30 minit sehari, tiga hingga empat kali seminggu.
“Antara petua lain saya guna ialah air beras untuk disembur di muka untuk mencerahkan kulit. Petua ini sering diamalkan orang Korea yang saya pelajari daripada Internet,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini juga menasihatkan golongan muda agar tidak terlalu taasub untuk kelihatan cantik sehingga tidak berfikir panjang menggunakan atau mengambil produk yang boleh memudaratkan diri.
Katanya, produk mengandungi bahan terlarang bukan saja memberi kesan buruk pada kulit malah boleh merosakkan buat pinggang. Dia juga menggalakkan orang ramai membuat semakan di laman web Kementerian Kesihatan untuk melihat sama ada produk yang ingin dicuba diluluskan atau tidak.
“Dulu, saya juga mudah terpengaruh dengan testimoni pengguna lain tapi selepas banyak membaca mengenai kesan buruk untuk jangka panjang, saya berhenti memakainya.
“Kemudian berlakulah proses yang kulit saya mula bermasalah seperti ton tidak sekata dan berjerawat. Saya berhenti dan mula jaga makan, minum banyak air dan lebih proaktif mencari jalan untuk mendapatkan kulit yang sihat,” katanya.
Baginya, tiada wanita yang tidak sukakan kecantikan, namun apabila meningkat usia keperluan untuk menjaganya meningkat kerana walaupun proses penuaan tetap berlaku tapi kita boleh melewatkannya.
Norhasyikin yang juga jurulatih kecergasan berpendapat kecantikan amat subjektif kerana ia tidak diukur pada sisi luaran saja. Sikap dan peribadi turut memainkan peranan terutama apabila bersosial dengan masyarakat.
Katanya, tidak perlu ghairah untuk kelihatan cantik kerana dengan sikap positif, hati yang tenang dan aura ceria datang dari dalaman yang sihat.
Norhasyikin amal rutin senaman 30 minit sehari, 3 hingga 4 kali
seminggu