Capaian 300 juta pengguna
Media Prima, Dailymotion meterai kerjasama sebagai platform peringkat global
Media Prima Berhad (Media Prima) mengukuhkan lagi kedudukan sebagai syarikat media digital tempatan terbesar di Malaysia apabila memeterai kerjasama dengan platform video popular dari Perancis, Dailymotion.
Kerjasama ini menyaksikan kandungan video Media Prima dimainkan dalam platform yang menjadi tarikan penonton global dengan lebih 300 juta pengguna dan tiga bilion tontonan video bulanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Johan Ishak berkata, pihaknya sentiasa mencari platform bersesuaian menyebarkan kandungan digital lebih meluas.
Katanya, perjanjian ini juga sejajar strategi Media Prima mengembangkan capaian digital dan mendemokratikkan kandungan video kepada rangkaian penonton lebih besar di luar Malaysia.
“Kami membuat kajian menambahbaik kandungan digital dan platform sedia ada, malah Media Prima kini berada di tempat ketiga dari segi capaian digital di negara ini.
“Media Prima juga bekerjasama dengan platform lain untuk mencapai lebih tontonan dalam talian dan berpeluang mencatat keuntungan bagi kandungan video,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Dailymotion di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid dan Naib Presiden Kandungan Asia Pasifik Dailymotion, Antoine Nazaret.
Johan berkata, menerusi kerjasama ini pihaknya menyasarkan peningkatan 10 juta penonton yang mendaftar di platform tonton berbanding 8.4 juta pada masa ini.
“Selepas ini lebih banyak saluran boleh diakses di platform Dailymotion dan fasa pertama menampilkan penyiaran penstriman siaran langsung seperti Anugerah Skrin 2018 dan sebelum dimuat naik semua video berkualiti tinggi dari rangkaian televisyen Media Prima, Ripple, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad dan Media Prima Digital ke dalam platform Dailymotion,” katanya.
Sementara itu, Antoine berkata, pihaknya mengiktiraf Media Prima sebagai syarikat peneraju media yang berinovasi dan mempelbagaikan portfolionya.
“Kami harap kerjasama ini berterusan dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, sekali gus meluaskan capaian digital di negara ini,” katanya.
Dailymotion boleh diakses melalui laman web, peranti mudah alih (iOS, Android) dan peranti termasuk Apple TV, Android TV, Amazon Fire TV dan Xbox One.