Sasar jual 20,000 peranti E-TAG
Lumpur: EFKON Asia Sdn Bhd, penyedia teknologi sistem kutipan tol infra merah di lebuh raya Malaysia melancarkan jenama peranti tag infra merahnya sendiri dikenali E-TAG.
E-TAG yang dikeluarkan syarikat dari Austria itu boleh didapati di rangkaian luar talian seperti stesen minyak di samping jualan dalam talian MaxTAG oleh Sigma Technology Sdn Bhd di www.lazada.com.my dan www.11street.my.
Pengarah dan Ketua Pegawai Operasi EFKON Asia, Helmuth Blasch berkata, peranti generasi terkini itu menampilkan pemproses mikro baru dan paparan yang dipertingkatkan untuk prestasi dan kebolehpercayaan yang lebih baik.
Beliau berkata, peranti itu menawarkan fungsi mudah alih, kebolehpercayaan dan keberkesanan kos yang lebih baik.
“Peranti E-TAG akan berada di pasaran dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi. Bagi MaxTAG pula, ia sudah berada di pasaran beberapa minggu lalu dengan kira-kira 4,000 unit dijual dalam tempoh dua setengah minggu,” katanya di pelancaran E-TAG di sini, semalam.
Mengulas mengenai sasaran jualan, Blasch berkata, pihaknya menyasarkan menjual 20,000 unit peranti tag infra merah sebulan.
Beliau berkata, EFKON merancang memperluaskan penyediaan peranti tag inframerah dipasang siap dalam model kereta di negara ini.
Ketika ini, katanya, peranti TAG infra merah keluarannya dipasang dalam model Toyota Rush dan Myvi baru.