Syafiq Farhain pilih Terengganu, Amy sokong yob
Melihat kepada pencapaian dua pasukan yang akan beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia hari ini di Stadium Shah Alam, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.
Namun, apabila dilihat kepada rekod kemenangan sejak Piala Malaysia pertama kali diperkenalkan kira-kira 97 tahun lalu, Perak mempunyai kelebihan dengan tujuh gelaran juara dan 11 gelaran naib juara, manakala Terengganu pula hanya menjuarai piala itu sekali serta empat kali sebagai naib juara.
Sepanjang perlawanan peringkat kumpulan, suku akhir dan separuh akhir, Terengganu mengekalkan rentak kemenangan dan berjaya menewaskan juara tahun lalu, Johor Darul Ta’zim dengan agregat
3-2 bagi meneruskan perjuangan di peringkat akhir.
Perak pula berjaya menundukkan Sabah dengan agregat 7-2 untuk menempah tiket ke final.
Sememangnya, aksi kedua-dua pasukan itu memang dinantikan seluruh peminatnya termasuk artis tempatan yang membuat ramalan terhadap pasukan pilihan masing-masing.
Penyanyi asal Setiu Terengganu, Syafiq
Farhain menjangkakan satu perlawanan sengit akan berlangsung kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan dan kehebatan tersendiri.
Katanya, dia tetap memilih Terengganu kerana perlu menyokong pasukan negeri asalnya.
“Saya jangkakan Terengganu menang
2-1 ke atas Perak dengan semangat yang ditunjukkan oleh pemainnya.
“Bermain dalam kumpulan sama ketika peringkat kumpulan, Terengganu dan Perak mempunyai peluang sama rata.
“Pada pusingan pertama, Terengganu berjaya menang dengan keputusan 4-3 sebelum tewas 1-2 pada pusingan kedua tetapi saya pasti Terengganu akan terus mengekalkan momentum,” katanya.
Terus memberikan sokongan kepada Terengganu, Syafiq berkata, kehebatan pasukan itu tidak boleh disangkal kerana sudah berjaya menyingkirkan kelab terhebat Johor Darul Ta’zim daripada saingan.
“Itu sesuatu yang patut dibanggakan. Kesungguhan pemain harus diberi pujian.
Sudah tujuh tahun rakyat Terengganu menanti pasukan itu beraksi di final selepas kecundang di tangan Negeri Sembilan pada 2011 di peringkat akhir. Kali ini adalah masa untuk membalas dendam,” katanya.
Sementara itu, penyanyi dan pelakon Amy Mastura pula menjangkakan sesuatu menarik ditampilkan negeri tercintanya.
Katanya yang berasal dari Ipoh Perak, pasukan Seladang akan mencipta kejutan dan akan menjuarainya dengan keputusan 1-0.
“Dengan barisan pemain hebat yang sememangnya sudah bersedia, mereka akan mampu bertahan menerusi persembahan terbaik, selain mempunyai kekuatan seimbang.
“Saya berharap mereka akan melakukan permainan konsisten dan mengekalkan corak permainan hebat serta bertenaga. Tidak mustahil mereka akan menang.
“Buat pemain Perak yang hebat, saya yakin anda semua boleh memberikan permainan terbaik malam ini. Sudah lebih 10 tahun kami menanti, kembalikan Piala Malaysia ke negeri Perak,” katanya.