RUMAH TAK SELAMAT
Penghuni hidup ketakutan
kediaman retak teruk
“Kami sekeluarga tidak berani berada dalam rumah pada waktu siang kerana bimbang bahagian dapur yang rosak teruk boleh roboh bila-bila masa,” kata Kamaruzaman Ali, 58.
Dia adalah antara penghuni 10 rumah di Taman Bukti, Ampangan di sini, hidup dalam ketakutan berikutan keretakan kediaman mereka yang semakin teruk sejak beberapa bulan lalu.
Mangsa memaklumkan rumahnya dibeli pada Ogos tahun lalu, namun pada November tahun sama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) membuat kerja membaiki cerun kira-kira 50 meter di belakang premis itu.
Katanya, kerja menanam cerucuk menyebabkan rumahnya dan beberapa rumah di kawasan itu termasuk jalan raya, mulai retak akibat gegaran dan semakin teruk sejak beberapa bulan lalu.
“Setiap hari saya, isteri dan lima anak akan berada di kedai makan di Paroi dan kami hanya pulang sekitar jam 11 malam untuk tidur, itu pun dalam keadaan ketakutan.
“Selain hujan yang masuk dalam rumah melalui bahagian dinding yang retak teruk, rumah juga dimasuki ular, biawak dan tikus,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukti di sini, semalam.
Kamaruzaman berkata, dia dan penduduk lain sudah beberapa kali membuat aduan kepada MPS tetapi sehingga kini tiada kesudahan walaupun sudah ramai kontraktor MPS datang melihat keadaan rumahnya.
Katanya, kontraktor itu memberi alasan kononnya kerja pembaikan tidak dapat dibuat lagi ketika ini kerana keadaan tanah yang kurang sesuai.
“Jangan bila seluruh rumah ini roboh, baru ada pihak yang mahu ambil tindakan dan ketika itu sudah terlewat,” katanya yang berharap pihak terbabit supaya bertanggungjawab.
Sementara itu jirannya, Hayati Sharudin, 43, berkata, kerja menanam cerucuk dijalankan sebelum ini turut menyebabkan bapanya yang berusia 80-an cedera terkena batu yang terjatuh dari dinding.
Beliau yang bekerja di Port Dickson berkata kejadian itu menyebabkan dia semakin bimbang meninggalkan bapanya di rumah kerana tidak mahu kejadian sama berulang.
“Saya sudah 35 tahun tinggal di rumah ini dan sejak tahun lalu banyak kerosakan yang berlaku termasuk lantai retak. Saya juga sudah tidak berani membuka pintu dapur kerana bila-bila masa boleh roboh kerana dinding yang retak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong, ketika dihubungi berkata, beliau akan melawat lokasi itu dalam tempoh terdekat.
Katanya, kerajaan negeri memahami situasi yang dihadapi penduduk dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak situasi lebih teruk daripada berlaku.
“Bagaimanapun, seperti yang kita sedia maklum, jika kes ini membabitkan peruntukan, pasti akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan,” katanya.