3,288 DISITA
Setiap tahun kereta klon yang berstatus lupus dari negara jiran seperti Singapura dan Brunei Darussalam ditahan sebelum disita namun isu itu masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
Jurucakap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberitahu bagi tempoh 2014 hingga September tahun ini 3,288 kereta klon disita pihaknya.
Beliau berkata, jumlah rampasan itu hasil operasi dan risikan JPJ dilakukan secara berterusan.
Katanya, sindiket masih licik menyeludup kenderaan berstatus lupus ke Malaysia sebelum dihantar ke Sabah kini menjadi pasaran baru kereta klon.
“Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, 156 kereta klon pelbagai model disita JPJ di seluruh negara.
“Pada tahun 2014 pula, kami merekodkan sitaan sebanyak 122, diikuti 557 (2015) 1,896 untuk (2016) dan 557 tahun lalu,” katanya, ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, operasi dijalankan JPJ akan diteruskan untuk melumpuhkan sindiket terbabit dalam aktiviti penjualan kereta klon di negara ini.
“Kami juga mengharapkan kerjasama daripada orang awam dalam membanteras aktiviti ini.
“Tindakan penguatkuasaan saja tidak mampu mengatasi isu ini. Sekiranya permintaan (pembelian kereta klon) kosong, penawaran juga berhenti,” katanya.
Dia memberitahu pengguna kereta klon boleh diumpamakan seperti orang yang tidak sayangkan nyawa sendiri dan ahli keluarga.
Sumber JPJ di Sabah berkata, susulan laporan bersiri Harian Metro mengenai penjualan kereta klon di negeri itu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), mengetatkan pemeriksaan di semua pelabuhan.
Katanya, setakat semalam JKDM belum menahan kenderaan disyaki sebagai kereta klon hasil pemeriksaan dijalankan.
Beliau tidak menolak kemungkinan sindiket mempunyai stok kereta klon mencukupi selain ada yang berada di jalan raya di Sabah.
“Sindiket masih mencari pelanggan, cuma kemasukan kenderaan baru ke Sabah berhenti,” katanya.