RANGKA 2 TAHUN DI PANGSAPURI TINGGAL
Tulang manusia ditemui di kuarters kosong bersama MyKad
Misteri kehilangan seorang lelaki sejak dua tahun lalu terjawab susulan penemuan rangka manusia ditemui di kuarters kerajaan tidak berpenghuni di Jalan Pesta, Bakri di sini, jam 6.30 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan rangka manusia itu.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bersama Pasukan Forensik dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) kemudian ke lokasi berkenaan.
“Setakat ini tiada sebarang perlakuan berunsurkan jenayah ditemui di lokasi kejadian.
“Polis juga menemui kad pengenalan berhampiran rangka manusia itu. Waris kepada individu berkaitan turut tampil dan mengesahkan kad berkenaan itu adalah milik ahli keluarganya yang hilang sejak dua tahun lalu,” katanya.
Zaharudin berkata, polis akan melakukan prosedur bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan pengesahan identiti mangsa.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menyebarkan apa jua bentuk maklumat berhubung penemuan rangka manusia terbabit bagi mengelak sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya boleh membangkitkan keresahan dan salah erti dalam kalangan masyarakat,” katanya.