Harian Metro

Rumah Benjamin pahat kenangan indah

„ Inap desa terbaik di Sarawak tawar pelbagai pengalaman menarik kepada pelancong

- Harun Yahya cnews@nstp.com.my

Kepelbagai­an budaya yang unik di Sarawak mampu menjana pendapatan lumayan jika rakyat negeri ini berani mengubahny­a menjadi produk pelanconga­n.

Itu dilakukan 21 keluarga di Rumah Panjang Benjamin Angki (Rumah Benjamin) di Kanowit yang muncul sebagai antara inap desa terbaik di Sarawak.

Terletak tidak jauh dari Pekan Kanowit, rumah panjang 53 pintu yang dibina di tebing Sungai Rajang pada 1936 ini masih mengekalka­n seni bina tradisiona­l rumah panjang masyarakat Iban.

Margaret Klokok, 74, seorang daripada pengusaha inap desa berkata, industri inap desa di rumah panjang itu bermula sekitar 2011 dan terus berkembang sehingga memenangi banyak anugerah dalam industri pelanconga­n termasuk anugerah ASEAN Homestay Standard dan Inap Desa Terbaik Sarawak dalam Anugerah Pelanconga­n Negeri.

“Rumah panjang ini menawarkan pelbagai aktiviti yang bagi orang tempatan mungkin biasa, tetapi ia sebenarnya amat menarik bagi orang luar.

“Biasanya, setiap pengunjung disambut dengan tarian ngajat dan paluan ‘tabuh’ serta menebang ‘ranyai’.

“Secara asasnya, pengunjung akan merasai pengalaman menyambut Hari Gawai di rumah panjang,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Margaret berkata, pengunjung juga boleh memilih pelbagai aktiviti sungai yang terletak di hadapan rumah panjang itu.

“Mereka boleh menyertai safari sungai mengikut masa pilihan masing-masing, sama ada memilih pergi pada waktu pagi atau ketika matahari terbenam untuk menikmati pemandanga­n indah di kawasan sungai ini.

“Jika mereka mahu, kita akan membawa mereka menebang buluh, memotong ayam dan mengajar proses memasak sajian ‘Ayam Pansuh’ dari awal sehinggala­h sajian itu sedia dimakan.

“Ini pengalaman yang menarik minat ramai pelancong luar negara ke rumah panjang ini,” katanya.

Dengan bayaran hanya RM80 semalaman termasuk kos makan dan minum, Rumah Benjamin kini semakin dikenali pelancong luar terutama pelancong dari China, Amerika Syarikat dan Australia.

“Jika mahu mengusahak­an inap desa seperti ini, pemilik perlu ‘buat kerja’, mereka bukan saja perlu memastikan kebersihan tempat kediaman, tetapi juga perlu memastikan keselesaan dan pilihan pelbagai aktiviti yang cukup menarik agar ia dapat menepati minat ramai pengunjung,” katanya.

 ??  ?? RUMAH Panjang Benjamin Angki di Kanowit yang menjadi salah satu inapdesa terbaik di Sarawak.
RUMAH Panjang Benjamin Angki di Kanowit yang menjadi salah satu inapdesa terbaik di Sarawak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia