Harian Metro

Guna GPS elak dikesan pihak berkuasa

-

Parit Buntar: Sistem Penentuan Kedudukan Global (GPS) antara kaedah digunakan nelayan ketika memasang dan mencari kedudukan bubu naga bagi mengelak pihak berkuasa merampas peralatan haram itu di laut.

Bendahari Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Mohd Radzi Said, 48, berkata, taktik itu dikesan digunakan nelayan tertentu di kawasan perairan di daerah Kerian.

“Sebelum ini mereka yang memasang bubu naga di laut meletakkan pancang dan bendera sebagai penanda kedudukan, tetapi sejak pihak Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) buat tangkapan, ada nelayan guna pelampung kecil, malah ada guna GPS untuk mengesan kedudukan bubu naga tanpa sebarang penanda.

“Ada juga menggunaka­n penanda darat dan pokok ketika memasang bubu itu, mereka kemudian guna pencakar besi yang diikat pada tali dan buang dalam laut, tarik dan apabila sangkut pada bubu naga baru mereka bawa naik atas untuk mengambil hasilnya.

“Jadi untuk elak kena tangkap atau bubu dirampas, mereka buat (taktik) menggunaka­n GPS.

“Kegiatan bubu naga turut dilakukan di kawasan beting kerana kawasan seperti itu sukar bagi bot pihak berkuasa memasukiny­a untuk merampas bubu itu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Difahamkan, selain bagi mengabui mata pihak berkuasa, penggunaan GPS juga bagi mengelak bubu atau hasil terperangk­ap di dalamnya dicuri pihak lain.

Mohd Radzi berkata, kerja mudah dan untung banyak menjadi faktor semakin ramai nelayan termasuk ‘nelayan segera’ turun ke laut memasang bubu itu.

Malah, katanya, kegiatan itu turut dilakukan nelayan warga asing yang bekerja dengan tauke bot nelayan.

“Pendapatan sehari bubu naga boleh mencecah RM1,000 hingga RM2,000 (bergantung jumlah bubu naga dipasang), jadi sebab itu mereka nak buat.

“Saya pun nak buat jika dibenarkan tetapi ikan kecil besar semua dia sapu, masalah nanti stok ikan berkuranga­n, sama seperti pukat kenka.

“Jadi, jika kerajaan tak buat akta khas untuk bubu naga maka ia mencetuska­n masalah lebih teruk pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, kegiatan itu perlu dihalang untuk menjaga ekosistem dan benih ikan serta mengurangk­an gangguan dan konflik dengan nelayan pukat hanyut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia