Harian Metro

Seragam ikut syarak

-

Seremban: “Secara dasarnya, kita tiada masalah dengan usaha menyelaras dan menyeragam­kan undang-undang syariah bagi memastikan bentuk hukuman sesuai dengan keadaan semasa,” kata Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Bagaimanap­un, beliau menegaskan sebarang cadangan pindaan terhadap hukuman sedia ada ke arah penyeragam­an itu perlu dibuat berlandask­an hukum syarak dan bukan logik akal manusia semata-mata.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu bertindak sebagai penyelaras untuk usaha penyeragam­an ini dan mufti setiap negeri dipanggil bermesyuar­at bagi membincang­kan mengenai pindaan yang hendak dibuat.

“Selepas itu, keputusan sama ada pindaan berkenaan akan diguna pakai atau tidak bergantung kepada perkenan raja, sultan atau Yang di-Pertuan Besar sesebuah negeri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, kelmarin, yang memaklumka­n Kerajaan Pusat berusaha menyeragam dan menyelaras undang-undang syariah di seluruh negara.

Sementara itu, mengenai kajian supaya kaedah hukuman lebih bersifat memulih selain menghukum termasuk membabitka­n perintah khidmat masyarakat, Mohd Yusof berkata, ia bergantung kepada jenis kesalahan.

“Kaedah hukuman bagi tujuh kesalahan dalam Islam termasuk zina, tuduhan zina dan minum arak, tidak boleh diubah kerana sudah ditetapkan dalam al-Quran serta hadis.

“Jika penambahan hukuman seperti perintah khidmat masyarakat mahu dibuat terhadap kesalahan lain, kita tiada masalah menerimany­a jika difikirkan baik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia