Harian Metro

Tiada janji wang lompat tinggalkan UMNO

-

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak membuat sebarang perjanjian berunsur wang dengan pemimpin UMNO untuk mereka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana mereka adalah ‘penjenayah’.

Perdana Menteri berkata, jika ada pihak yang mendakwa menjumpai bukti bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) merasuah mereka, beliau mengalu-alukan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Kita tidak buat perjanjian dengan penjenayah. Namun, jika anda menemui beberapa kes yang berkaitan rasuah, anda dialu-alukan untuk membuat laporan supaya tindakan boleh diambil.

“Bagaimanap­un, setakat ini, kita tidak mengenakan syarat berupa wang untuk ‘memancing’ mereka (pemimpin UMNO) masuk BERSATU.

“Mereka cuma perlu meninggalk­an UMNO dan jadi bebas terlebih dahulu buat seketika waktu. Kemudian mohon untuk jadi ahli BERSATU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaik­an ucaptama dan merasmikan Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuha­n Ekonomi Mapan di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan sama ada terdapat perbincang­an ‘pintu belakang’ membabitka­n 40 Ahli Parlimen UMNO dipercayai akan meninggalk­an parti itu bagi menyertai BERSATU tidak lama lagi, menerima ganjaran dalam bentuk wang.

Terdahulu, timbul spekulasi ramai ahli parlimen UMNO akan lompat parti dan menyertai BERSATU selepas ia didedahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk A Kadir Jasin.

A Kadir berkata, pihaknya tidak menafikan ada antara mereka mempunyai isu atau terdedah untuk disiasat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia