Harian Metro

Sarawak akur guna e-Undi

-

Kuching: PKR Sarawak akan menjelajah kawasan pedalaman bagi menerangka­n kepada ahli akar umbi berhubung penggunaan sistem e-Undi pada pemilihan pucuk pimpinan parti itu di negeri ini, 10 November depan.

Timbalan Pengerusi Jawatankua­sa Pemilihan PKR Sarawak, Baharuddin Mohsen berkata, meskipun kebanyakan negeri mempersoal­kan penggunaan sistem e-Undi, pihaknya akur dan akan memastikan ia berjalan lancar.

Justeru, beliau menjelaska­n pihaknya akan memberi penjelasan kepada ahli akar umbi bagi mengelak sebarang kekeliruan yang boleh mencetuska­n keadaan kelam kabut pada hari pemilihan nanti.

“Semua jawatankua­sa peringkat cabang sudah diarah memberi penjelasan terperinci berhubung kaedah e-Undi yang kali pertama diperkenal­kan dalam pemilihan PKR.

“Tumpuan utama penjelasan isu itu ialah ahli di kawasan luar bandar yang kurang terdedah kepada penggunaan teknologi maklumat,” katanya dihubungi NSTP semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan persiapan sebaik mungkin untuk memastikan pemilihan di peringkat negeri berjalan lancar.

“Kita sedia maklum kekecohan tercetus di beberapa negeri termasuk yang terbaharu di Melaka dan Selangor, namun kita berharap ia tidak berlaku di Sarawak.

“Kita juga berharap capaian Internet tidak bermasalah sepanjang pemilihan nanti kerana seperti yang kita ketahui ada banyak kawasan di negeri ini yang liputan Internetny­a kurang lancar,” katanya.

Kekecohan tercetus di beberapa cabang di Melaka dan Selangor pada pemilihan 21 Oktober lalu dipercayai rasa tidak puas hati ahli terhadap sistem e-Undi.

Pemilihan di Sarawak pada 10 November depan akan membabitka­n 29 cabang dengan tumpuan akan diberikan di cabang Julau dan Lubok Antu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia