Harian Metro

Tidur terhidu asap

- Hasbi Sidek cnews@nstp.com.my

„ Tiga penghuni apartmen terselamat ruang tamu disambar api

Pantas berlari keluar selepas terhidu asap menyelamat­kan tiga penghuni apabila apartmen didiami mereka di Jalan Bangsar di sini, terbakar, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.45 malam, tiga lelaki yang berusia lingkungan 30-an berada di kediaman berkenaan sebelum kebakaran tercetus dipercayai bermula di bahagian ruang tamu.

Penghuni Syukri Muhammad Nor, 32, berkata, ketika kejadian dia baru pulang dari tempat kerja dan berehat di sebuah bilik yang diubahsuai di bahagian ruang tamu apartmen berkenaan sebelum terhidu asap.

“Pada mulanya saya menyangka pihak kesihatan menyembur racun nyamuk, namun baunya pelik sebelum bingkas bangun dan mengetuk bilik dua rakan, tetapi mereka tidak memberikan respons.

“Saya kembali ke ruang tamu dan ternampak cahaya kekuningan dalam bilik bersebelah­an bilik saya dari bawah pintu, sedangkan penghuni bilik itu tiada di rumah. Saya sekali lagi mengetuk bilik rakan, namun mereka masih senyap,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, dia membuka pintu utama dan ketika itu sudah ada beberapa jiran di depan rumah sambil memaklumka­n terhidu bau hangit seperti barang terbakar serta mahu memastikan kami semua selamat.

“Tidak lama kemudian, dua lagi rakan saya yang berada dalam bilik masing-masing keluar. Ketika itu asap sudah tebal dan mereka bernasib baik kerana sempat keluar dari rumah berkenaan sebelum api merebak ke seluruh bahagian ruang tamu dan bilik air,” katanya.

Seorang lagi penghuni, Muhamad Nurasmadi Mohd Askin, 31, berkata, ketika kejadian dia tidur dan mendengar rakannya mengetuk pintu, namun tidak mengendahk­annya kerana menganggap tiada apa yang berlaku.

“Saya terhidu asap sebelum saya dan seorang lagi rakan yang sedang tidur di bilik sama keluar dari rumah. Kami bersyukur kerana sempat menyelamat­kan diri,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, ruang tamu unit apartmen berkenaan yang berkeluasa­n 18.5 meter persegi terbakar 100 peratus.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 10.56 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai bergegas ke lokasi. Turut membantu operasi adalah BBP Hang Tuah menjadikan kekuatan seramai 25 anggota dengan lima jentera.

“Kebakaran membabitka­n ruang tamu satu unit apartmen di tingkat dua. Pihak kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke ruang lain, namun keseluruha­n bahagian ruang tamu hangus,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia