Harian Metro

Laksa kebok kembali dijual

- Safuri Kamarudin cnews@nstp.com.my

„ Pemilik gerai patuh syarat pejabat kesihatan

Gerai laksa kebok di Kampung Landak, Kupang yang ditutup sejak tiga minggu lalu susulan kes keracunan yang berlaku, kini kembali dibuka kepada pelanggan setianya.

Pemiliknya, Daud Ismail, 52, berkata, gerai itu mula dibuka semalam dan dia menyediaka­n 30 kilogram laksa untuk dijual kepada pelanggan.

“Gerai mula dibuka jam 10 pagi dan pelanggan datang sebaik saja perniagaan dibuka...alhamdulil­lah saya bersyukur kerana pelanggan masih sudi berkunjung.

“Selama tiga minggu saya akur dengan arahan menutup gerai dan menganggap ini semua ujian Allah,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Kementeria­n Kesihatan (KKM) mengesahka­n 61 kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling dengan kejadian membabitka­n dua kematian.

Susulan itu, gerai kebok yang terkenal dalam kalangan penduduk tempatan termasuk dari Perak, Pulau Pinang dan Selangor diarah menutup operasi hingga siasatan pihak berkuasa selesai.

Daud berkata, bagi meraih semula keyakinan pelanggan, dia dan ahli keluarga yang mengusahak­an perniagaan itu mematuhi semua syarat ditetapkan Pejabat Kesihatan Baling.

“Jumaat lalu, isteri dan dua anak yang terbabit mengendali­kan makanan mengikuti kursus kesihatan dan pengendali­an makanan anjuran Pejabat Kesihatan Baling.

“Alhamdulil­lah semua berjalan lancar dan mulai Sabtu ini, saya akan memperkena­lkan menu baru iaitu laksa udang tertunggin­g,” katanya. Sementara itu, pelanggan, Alias Daie, 58, berkata, dia sudah lama menikmati laksa di gerai itu yang dihasilkan sepenuhnya secara tradisiona­l. “Saya memang terkejut dengan kejadian yang menimpa pemilik gerai laksa kebok, namun gembira perniagaan dibuka semula hari ini (semalam).

“Saya yakin laksa kebok masih sedap seperti dulu dan tidak pernah takut untuk terus menikmatin­ya,” katanya yang berasal dari Kampung Charok Kapas, Kupang.

 ??  ?? DAUD (kiri) melayan pelanggan yang membeli laksa kebok di Kampung Landak, Kupang.
DAUD (kiri) melayan pelanggan yang membeli laksa kebok di Kampung Landak, Kupang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia