Harian Metro

Usah lagi berdiam diri

- Norasikin Daineh cnews@nstp.com.my

„ Bekas pelajar saman guru ponteng mengajar

Bekas pelajar yang memfailkan saman terhadap bekas guru bahasa Inggeris sekolahnya mendakwa berbuat demikian bagi pihak semua rakannya demi menamatkan budaya takut dan berdiam diri berhubung dakwaannya itu.

Memetik laporan akhbar Daily Express semalam, Siti Nafirah Siman, 19, berkata, sudah tiba masanya semua pihak berani untuk menamatkan budaya itu dan mahu setiap sekolah memberikan pendidikan terbaik kepada pelajarnya.

“Guru tidak rugi apa-apa jika dia tidak mengajar, pelajar yang rugi semuanya jika mereka tidak belajar.

“Budaya takut bersuara mesti berakhir. Budaya psikopati dengan mengugut dan menakutkan kami juga mesti dihentikan,” katanya.

Siti Nafirah berkata, pelajar tidak boleh berjaya tanpa guru dan akan gagal mencapai matlamat.

“Tanpa guru kita akan hilang arah, hilang pendidikan. Tanpa pendidikan, kehidupan kita tidak akan bermakna.

“Untuk kepentinga­n generasi masa depan tiada apa lebih penting berbanding seorang guru mengajar dalam kelas,” katanya.

Siti Nafirah yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi memfailkan saman itu terhadap Jainal Jamran yang didakwa tidak masuk kelas selama tujuh bulan pada 2015 ketika dia berada di tingkatan empat.

Selain itu, dia turut menamakan pengetua SMK Taun Gusi, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Kementeria­n Pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.

Saman itu difailkan menerusi Tetuan Roxana & Co pada 16 Oktober lalu dan pendengara­n pertama kes itu dijadualka­n pada 19 November ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dapat memberi ulasan lanjut berhubung kes itu kerana ia sudah dibawa ke mahkamah.

“Saya tidak boleh ulas kerana (kes) mahu masuk mahkamah, kita kena tunggu dari mahkamah.

“Kami belum menerima surat saman dan hanya mengetahui­nya melalui akhbar.

“Dalam masa sama, kami sedang membuat siasatan dalaman (terhadap kes ini),” katanya.

 ??  ?? SITI Nafirah (tengah) bersama peguamnya, Roxana Jamaludin (kanan) pada sidang media di Penampang.
SITI Nafirah (tengah) bersama peguamnya, Roxana Jamaludin (kanan) pada sidang media di Penampang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia