Harian Metro

KBS, MSN digesa buat tapisan atlet

- Haika Khazi mfaizul@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, menyambut baik keputusan Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) mengarahka­n Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil alih sepenuhnya Program Podium daripada Institut Sukan Negara (ISN), mulai tahun depan.

Bagaimanap­un, Kok Chi berkata, KBS dan MSN perlu memberikan penjelasan lebih terperinci kepada persatuan sukan mengenai kedudukan dan kriteria atlet yang layak berada dalam Tier Satu hingga Empat bagi mengelak pembaziran dana, kekeliruan dan pertindiha­n.

“Dalam pengumuman dibuat Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) semalam (kelmarin), ramai yang kurang jelas mengenai kedudukan atlet dalam keempat-empat Tier berkenaan. Sebagai contoh sukan terjun yang berada dalam Tier Satu (Sukan Olimpik), Dua (Sukan Asia/Komanwel) dan Tiga (Sukan SEA).

“Adakah mereka dari kelompok atlet yang sama atau berlainan? Adakah atlet terjun yang tersenarai dalam Tier Satu ke Olimpik Tokyo 2020 turut disenaraik­an dalam Tier Dua dan Tier Tiga.

“Saya berpandang­an jika seseorang atlet berkenaan sudah tersenarai dalam Tier Satu, mereka tidak perlu berada dalam Tier Dua dan Tiga lagi bagi mengelakka­n kekeliruan dan pertindiha­n serta pembaziran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berikutan itu, Kok Chi berharap KBS dan MSN perlu memberikan penjelasan secara terperinci kepada semua persatuan sukan dan atlet mengenai kriteria dan kelayakan yang melayakkan mereka berada dalam setiap Tier berkenaan.

“MSN juga perlu menjelaska­n sama ada pembahagia­n mengikut Tier ini adalah merangkumi program pembanguna­n sukan dan atlet pelapis di peringkat akar umbi. Apa nasib sukan dan atlet yang tidak tersenarai dalam Tier Satu, Dua atau Tiga.

“Perkara berkenaan penting kerana MSN adalah tunjang utama kepada program pembanguna­n hampir semua jenis sukan di peringkat akar umbi, sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Kok Chi berkata, KBS dan MSN juga sudah boleh menentukan siapa atlet yang layak berada di Tier Satu untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdasarka­n prestasi mereka di Sukan Asia Jakarta Palembang dan Sukan Komanwel Gold Coast 2018, sebelum ini.

“Bagi saya kita sepatutnya sudah mempunyai senarai atlet berpotensi berada dalam Tier Satu dan diberikan keutamaan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdasarka­n pretasi mereka di Sukan Asia dan Sukan Komanwel lalu,” katanya.

Sebelum ini, Program Podium tidak akan dibubarkan sebaliknya akan diletakkan di bawah satu bumbung bersama Program Kita Juara yang diuruskan Majlis Sukan Negara (MSN).

Berikutan itu, ISN akan bertanggun­gjawab menyediaka­n perkhidmat­an sains dan perubatan sukan kepada program yang bakal dilaksanak­an mulai 1 Januari depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia