Harian Metro

Kertas siasatan bakal akan diserah kepada DPP

-

Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung dakwaan seorang Ahli Parlimen mencabul remaja perempuan berusia 15 tahun yang dikatakan berlaku di Perlis akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, keterangan bekas menteri itu dirakam, namun kertas siasatan belum diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

“Kami akan serahkan kertas siasatan yang lengkap kepada DPP (Timbalan Pendakwa Raya) berhubung dakwaan beliau mencabul itu dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Seminar Pemantapan Integriti Bebas Rasuah Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM di Cheras, di sini, semalam.

Pada Selasa lalu, media melaporkan Polis Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman merakamkan keterangan Ahli Parlimen itu kira-kira tujuh jam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul remaja perempuan di Perlis, baru-baru ini.

Sementara itu, dalam perkembang­an lain, beliau memaklumka­n pihaknya juga menunggu arahan daripada Pendakwa Raya berhubung kes pegawai khas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman merakam video bawah skirt seorang petugas wanita di kedai cermin mata di Solaris Dutamas, September lalu.

“Kami sudah serahkan kertas siasatan yang lengkap kepada DPP dan masih menunggu jawapan untuk tindakan selanjutny­a,” katanya.

Pada 10 September lalu, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan polis untuk membantu siasatan kes berkenaan. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata, suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia