Harian Metro

Teliti hal jet Jho Low

- Nadia Hamid dan Manirajan Ramasamy cnews@nstp.com.my

„ Kerajaan kaji sama ada berbaloi atau tidak bawa pulang ke Malaysia

Kerajaan perlu meneliti sama ada berbaloi atau tidak membawa pulang jet peribadi milik ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian merujuk kepada jet peribadi di hangar persendiri­an Lapangan Terbang Seletar Singapura yang diarahkan lelong dalam masa dua minggu.

“Saya tidak tahu adakah berbaloi atau tidak membawa (jet peribadi) balik. Jet itu tidak boleh terbang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Felo dan Anugerah 24 Saintis Terbaik 2018, anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM), di sini.

Ketika ditanya berhubung kenyataan beliau sebelum ini yang kerajaan berhasrat membawa pulang jet itu pulang ke Malaysia, Dr Mahathir dengan tegas mengulangi kenyataann­ya.

“Kalau berbaloi, kita bawa balik,” katanya.

Pagi semalam, Mahkamah Amerika Syarikat membenarka­n jualan lelong jet peribadi milik Jho Low yang dipercayai dicuri daripada 1 Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Jet peribadi itu, The Bombardier Global 5000, dianggarka­n bernilai AS$ 1.7 bilion (RM7.08 bilion).

Jet berkenaan didakwa aset kedua mempunyai hubung kait dengan 1MDB yang akan dijual.

Awal minggu ini, Malaysia menawarkan bidaan lelong kapal mewah, Equanimity yang bernilai AS$250 juta (RM1 bilion), didakwa milik Jho Low.

Rabu lalu, Pendakwa Raya Mahkamah California bersetuju dengan keputusan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan syarikat memiliki jet itu, Global One Aviation untuk menjual jet peribadi itu.

Difahamkan, jet itu berisiko mengalami kerosakan dan perlu dibaiki untuk mengekalka­n keadaannya, dengan kos baik pulih dianggarka­n RM2 juta.

Difahamkan, CAG, syarikat pengendali Lapangan Terbang Seletar meminta pembayaran caj tempat letak pesawat dijelaskan terlebih dahulu sebelum jet itu dibenarkan dibawa ke Malaysia.

Jurucakap Global One Aviation berkata proses bidaan akan bermula dalam masa terdekat.

Ogos lalu, Dr Mahathir berkata, jet itu tidak digunakan untuk tempoh lama dan perlu diservis sebelum dibenarkan terbang.

“Kita akan bawa pulang secepat mungkin, kalau jet boleh terbang. Jet tidak digunakan sudah lama. Perlu diperiksa dan diservis.

“Selepas selesai, ia akan diterbangk­an ke sini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia