Harian Metro

Durakovic tolak lamaran Red Giants

-

Kuala Lumpur: Hasrat Selangor bagi mendapatka­n khidmat jurulatih Mehmet Durakovic musim depan tidak kesampaian apabila beliau dikatakan membuat ‘pusingan U’ untuk kekal bersama Perak.

Menurut sumber rapat dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Durakovic membuat keputusan demikian selepas tidak berminat dengan tawaran kontrak yang diberikan.

“Mehmet (Durakovic) tak jadi ke Selangor, beliau tidak berminat dengan kontrak yang ditawarkan. Sebelum ini beliau hanya menandatan­gani MOU (Memorandum Persefaham­an) dengan FAS, bukan kontrak,” katanya kepada Sukan NSTP, semalam.

Sebelum ini timbul persoalan mengenai kedudukan Durakovic, 53, yang dilaporkan bakal pulang ke pangkuan Selangor semula apabila meninggalk­an skuad Red Giants selepas meraih kejuaraan Piala Malaysia pada 2015.

Bekas pemain import Selangor itu kemudian membimbing Perak pada Februari 2017 dan berjaya menghadiah­kan gelaran Piala Malaysia dengan skuad The Bos Gaurus apabila menewaskan Terengganu FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas aksi sebenar terikat 3-3 pada final di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Beberapa hari selepas kejuaraan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengesahka­n Durakovic akan ditawarkan kontrak baharu bagi membimbing Perak musim depan.

Gagal memikat jurulatih dari Australia itu, pihak pengurusan FAS kini dikatakan berunding dengan jurulatih FELCRA FC dari Brazil, Tarcisio Pugliese untuk membimbing skuad The Red Giants.

“Bila Mehmet menolak tawaran itu, Selangor kini berbincang dengan jurulatih FELCRA dan mereka juga ada beberapa pilihan jurulatih lain,” kata sumber berkenaan.

Sepanjang kempen Liga Perdana musim ini, pencapaian Pugliese baik apabila anak buahnya berjaya menduduki tempat kedua Liga Perdana untuk mendapat slot beraksi ke Liga Super musim depan.

Bagaimanap­un, status kelab itu musim depan masih belum pasti apabila dilaporkan berdepan dengan masalah kewangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia