Harian Metro

Penamat ‘syahdu’ Torete

-

Sepang: “Saya akan kembali ke sini (Litar Sepang dan Kejuaraan Motosikal Dunia) dan terus berusaha untuk mencapai apa yang saya inginkan”. Itu rumusan pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin sebaik sahaja menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia dan mungkin juga yang terakhir buatnya sejak memulakan karier dalam kelas itu pada 2016.

Adam atau dikenali sebagai ‘Torete’ di Sepanyol, bakal menyertai saingan Kejuaraan Moto2 Eropah musim depan dan dia memberikan sepenuh keringatny­a di depan peminat permotoran dua roda tanah air di Litar Antarabang­sa Sepang (SIC), semalam.

“Saya rasa ini perlumbaan Moto3 yang terakhir dan juga di laman sendiri,” kata pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu. “Saya hanya buat yang terbaik, banyak kali saya hampir ke podium tapi kali ini saya berusaha begitu gigih.

“Pada tiga pusingan terakhir, saya sudah tak dapat rasa tangan sebelah kiri. Saya terlalu berusaha pada permulaan perlumbaan dan akhirnya tak jangka terjatuh selekoh akhir itu.”

“Apapun, saya harap lain kali saya dapat naik podium. Saya tak mahu menyerah kalah dan berjanji akan berusaha gigih ke arah itu.

“Satu hari nanti, saya akan balik ke sini dan berharap apa yang saya inginkan itu akan tercapai.”

Adam mungkin tidak menyertai pusingan penutup musim 2018 di Valencia, 18 November ini, bagi menjalani pembedahan susulan kecederaan­nya itu.

Sementara itu Khairul Idham Pawi menamatkan perlumbaan GP Malaysia di tempat ke-17 dengan kesilapan pada awal saingan merencatka­n aksinya di laman sendiri.

Pelumba IDEMITSU Honda Team Asia itu melengkapk­an 18 pusingan perlumbaan dengan catatan keseluruha­n 38 minit 54.491 saat dalam aksi Moto2 yang menyaksika­n Luca Marini dari SKY Racing Team VR46 muncul pemenang.

“Pada perlumbaan tadi, di awal pusingan saya membuat sedikit kesilapan di selekoh pertama,” kata Khairul Idham yang pada musim lalu tidak menamatkan perlumbaan di litar Sepang.

“Kami juga menambahba­ik pelarasan jentera dan saya lebih yakin daripada semalam (kelmarin). Pagi tadi (semalam), kami menukar suspensi di bahagian depan dan belakang serta beberapa perkara lain untuk mendapatka­n cengkaman lebih baik.

“Dari situ, saya lebih yakin daripada semalam dan kelajuan ketika perlumbaan juga agak baik.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia