Bergerak harmoni demi kemajuan
Kota Kinabalu: Keputusan Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin menolak saman pemula Tan Sri Musa Aman dan mengekalkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri yang sah, membolehkan semua pihak bergerak ke hadapan untuk memajukan negeri ini.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mengajak semua pihak, termasuk penjawat awam untuk bersama secara lebih harmoni demi kemajuan negeri ini.
“Saya pasti keputusan penghakiman ini akan dikeluarkan mahkamah untuk tatapan umum, seterusnya menjadi rujukan kes penting pada masa depan. Mari menghormati keputusan mahkamah ini.
“Dengan ini, tiba masanya kita sama ada anggota pentadbiran negeri dan perkhidmatan awam, rakyat dan sektor lain untuk bergerak ke hadapan dengan lebih harmoni,” katanya pada kenyataan, semalam.
Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 masih jauh, oleh itu semua pihak seharusnya mengisi masa dengan bekerjasama ke arah kebaikan rakyat.
“Mereka (rakyat Sabah) berhak mendapat perkhidmatan daripada kerajaan yang stabil melalui urus tadbir penyampaian awam yang lebih baik daripada sebelum ini.
“Rakyat juga berhak menikmati pembangunan dan kemajuan ekonomi lebih baik dengan adanya kestabilan politik dan keharmonian kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.