Harian Metro

BAYI BALAI BOMBA

- Ekhwan Haque Fazlul Haque ekhwan@nstp.com.my

Wanita bersalin dalam kenderaan ERMS pasukan BBP Petra Jaya ketika mendapatka­n bantuan ke hospital

Seorang wanita yang sarat mengandung melahirkan anak dalam kenderaan Perkhidmat­an Perubatan Kecemasan (ERMS) pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ketika mendapatka­n bantuan ke hospital, kelmarin.

Ketika kejadian, Suraya Drahman, 51, cuba membawa anaknya yang sarat mengandung, Nurul Jasmin Abdul Malik, 23, ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching jam 6.30 pagi, namun keadaan jalan agak sesak ketika itu.

Dalam keadaan panik, Suraya hanya terfikir membawa anaknya ke BBP Petra Jaya untuk mendapatka­n bantuan membawa anaknya itu ke hospital.

Bagaimanap­un, hanya beberapa minit selepas Nurul Jasmin dimasukkan ke dalam jentera ERMS, wanita itu selamat melahirkan bayi perempuan kira-kira jam 7 pagi kelmarin tanpa sempat kenderaan itu bergerak keluar dari balai bomba berkenaan.

Menceritak­an detik itu Suraya berkata, anaknya mengadu sakit untuk bersalin jam 4 pagi sebelum dia dan menantunya, Mohd Rayyan Abdullah, 23, bergegas dari kediaman mereka di Kampung Budaya di Santubong membawa anaknya ke HUS, jam 6.30 pagi.

Katanya, keadaan trafik ke Kuching ketika itu sesak menyebabka­n beliau panik sebelum membuat keputusan menuju ke BBP Petra Jaya untuk mendapatka­n bantuan pada jam 6.50 pagi.

“Saya ke pejabat am balai bomba dan seorang pegawai keluar sebelum meminta anak saya dibawa ke pekarangan balai bomba untuk dihantar ke hospital menggunaka­n kenderaan ERMS.

“Dengan bantuan (tiga) anggota bomba, anak saya diangkat masuk ke dalam kenderaan ERMS, namun tidak sempat kenderaan itu keluar dari pekarangan balai, anak saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.9 kilogram,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, bukan setakat memberikan bantuan kecemasan, lebih bermakna apabila seorang anggota bomba yang bertugas ketika kejadian turut melaungkan Iqamat pada cucu ketiganya itu.

Sementara itu, Ketua BBP Petra Jaya Penolong Kanan Penguasa Bomba Tan Min Chai berkata, ini adalah pengalaman pertamanya berdepan situasi bayi dilahirkan dalam kenderaan ERMS sepanjang 10 tahun bertugas sebagai pegawai bomba.

“Bayi perempuan itu adalah bayi pertama yang dilahirkan di dalam kenderaan ERMS di Sarawak dan mungkin juga di Malaysia.

“Saya dan anggota BBP Petra Jaya bangga kerana dapat menyelamat­kan ibu dan bayi dalam situasi yang genting seperti semalam (kelmarin).

“Kami bercadang untuk menjadikan bayi perempuan itu sebagai anak angkat BBP Petra Jaya dan akan melawatnya dalam masa terdekat,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? BAYI yang dilahirkan di BBP Petra Jaya dan ibunya dilaporkan dalam keadaan sihat.
BAYI yang dilahirkan di BBP Petra Jaya dan ibunya dilaporkan dalam keadaan sihat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia