Harian Metro

Rumah Putih gantung wartawan CNN

-

Washington: Rumah Putih menggantun­g pas media wartawan Cable News Network (CNN) selepas dia ‘bertikam lidah’ dengan Presiden Donald Trump ketika sidang akhbar yang menyaksika­n Trump menggelar pemberita terbabit sebagai ‘musuh rakyat.’

Trump kelihatan marah ketika melabel Jim Acosta sebagai ‘biadab dan teruk’, selepas wakil CNN untuk Rumah Putih itu enggan akur dengan arahan presiden supaya duduk dan memberikan mikrofon kepada petugas ketika sidang akhbar sehari selepas pilihan raya separuh penggal.

Pertikaman lidah itu bermula selepas Acosta berterusan menyoal Trump mengenai rombongan penduduk Amerika Tengah yang berarak di Mexico untuk masuk ke Amerika.

Trump yang hilang sabar kemudian berkata: “Kamu biarkan saya urus hal ehwal negara. Kamu uruskan CNN dan jika berjaya, populariti anda lebih tinggi.”

Selepas Acosta berterusan melemparka­n soalan, Trump bertegas dengan berkata ‘cukuplah, serahkan mikrofon itu’ dan bergerak turun dari pentas.

Seorang pelatih Rumah Putih cuba mengambil mikrofon itu daripada Acosta yang terus melemparka­n soalan.

Sambil menuding jari, Trump mengherdik Acosta dengan berkata: “CNN sepatutnya malu kerana kamu bekerja dengan mereka. Kamu biadab dan teruk. Kamu tidak sepatutnya bekerja untuk CNN.”

Mengulas penggantun­gan pas media Acosta, jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders, menuduh wartawan veteran itu ‘menyentuh tangan petugas wanita yang cuba melakukan tugasnya’.

CNN dan wartawan yang menghadiri sidang akhbar berkenaan menyuaraka­n sokongan kepada Acosta manakala Persatuan Wartawan Rumah Putih membantah tindakan pentadbira­n Trump menggunaka­n pas media sebagai alat menghukum wartawan. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia