Harian Metro

Khalid sokong Hasnul kekal presiden

- Shaarani Ismail shaarani@nstp.com.my

Ipoh: Bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak, Khalid Jamlus berharap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dapat mempertimb­angkan semula peletakan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Khalid yang turut menjadi penyumbang gol ketika kali terakhir Perak memenangi Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan pada 2000, berkata Ahmad Faizal boleh mempertimb­angkan semula peletakan jawatan Hasnul demi masa depan, perancanga­n dan ideanya dalam menaikkan martabat bola sepak Perak.

Beliau yang kini bertugas sebagai penolong ketua jurulatih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, niatnya meminta Menteri Besar mempertimb­angkan semula peletakan jawatan Hasnul bukan disebabkan dirinya tidak menyebelah­i peminat sukan bola sepak Perak, sebaliknya atas iltizam dan semangat yang ditunjukka­n Hasnul.

“Ikhlas dari lubuk hati saya, selaku bekas pemain, saya memuji beberapa langkah Hasnul ketika mengendali­kan PAFA tetapi pada masa yang sama saya tidak bersetuju atas apa yang dia lakukan terhadap piala keramat itu,” kata Khalid.

“Saya tidak berniat untuk bertindak membodek tapi percayalah, pemain, jurulatih, pengurusan pasti terganggu atas konflik ini.

“Dosa yang dilakukan tidaklah sebesar mana hingga tidak dapat diampunkan, setiap manusia pasti membuat kesilapan dan siapalah kita untuk menghukum lebih-lebih lagi permohonan maaf sudah pun dilakukan.

“Berilah satu peluang kepadanya supaya terus menerajui PAFA. Kalau orang bertanya kepada saya adakah saya boleh menerima semua ini, jawapan saya ‘iya’, saya terima permohonan maaf itu kerana saya pernah melalui situasi hampir serupa.

“Ketika itu semua membenci saya, tapi saya masih diberi kepercayaa­n, akhirnya saya buktikan, jadi kenapa dia tak boleh diberi peluang lagi?”

Kelmarin, Hasnul mengumumka­n peletakan jawatannya sebagai Presiden PAFA susulan desakan khususnya daripada penyokong bola sepak Perak berikutan layanan diberikan terhadap Piala Malaysia seperti dipaparkan termasuk dalam Facebook Hasnul sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia