25 HARI ‘DAPAT’ RM23.3J
Kastam buat rampasan bunga api, mercun, arak dan rokok di seluruh negara sempena Deepavali
Hanya dalam tempoh 28 hari, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas bunga api, mercun, minuman keras dan rokok seludup bernilai RM23.3 juta dalam serbuan dijalankan di seluruh negara.
Serbuan itu dijalankan sempena Op Deepavali yang bermula pada 15 Oktober lalu sehingga semalam.
Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM Datuk Azimah Abd Hamid berkata, sepanjang operasi itu sebanyak 3,380 pemeriksaan dilakukan membabitkan serbuan ke atas premis, sekatan jalan raya dan rondaan air serta darat.
Katanya, operasi selama 28 hari itu membabitkan seluruh kekuatan pegawai dan pegawai kanan penguatkuasaan kastam di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Daripada pemeriksaan dijalankan, JKDM berjaya memperoleh sebanyak 389 kes seluruh negara membabitkan pelbagai kesalahan dan sebanyak 382 kertas siasatan dibuka.
“Daripada keseluruhan kes itu, 170 berjaya dikompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM539,354 dan selebihnya 186 kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Azimah berkata, keseluruhan nilai rampasan itu berjumlah RM23.3 juta membabitkan anggaran cukai sebanyak RM22.5 juta berjaya diselamatkan.
“Daripada jumlah keseluruhan kes, sebanyak 22 kes membabitkan mercun dan bunga api pelbagai jenama (1,054 kilogram) dengan nilai rampasan dianggarkan RM17,252 yang mana lapan kes daripadanya sudah dikompaun RM9,450.
“Bagi minuman keras pula JKDM menghasilkan 119 kes dan jumlah keseluruhan kuantiti dirampas adalah sebanyak 231,460.89 liter minuman keras dengan nilai rampasan RM1.65 juta,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak RM7.9 juta nilai cukai berjaya diselamatkan dan daripada jumlah kes berkenaan sebanyak 60 kes dikompaun RM141,244.
“Bagi rokok pula sebanyak 202 kes diperoleh dan anggaran sebanyak 26,457,858 juta batang berjaya dirampas.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.8 juta dan sebanyak RM13.9 juta jumlah cukai berjaya diselamatkan, 87 kes daripadanya dikompaun
RM344,090,” katanya.
Katanya, operasi perayaan dijalankan serentak di seluruh negara itu bertujuan menyekat supply and delivery
system barang belum lulus kastam terutama mercun dan bunga api yang kebiasaannya didapati bila tiba musim perayaan.
“Selain itu, operasi ini dapat memperlihatkan kekuatan JKDM memerangi jenayah penyeludupan dan keupayaan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terbabit.
“Operasi ini diharap memberikan impak positif dengan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pendirian JKDM yang tidak bertolak ansur dengan aktiviti penyeludupan,” katanya.
“Daripada keseluruhan kes itu, 170 berjaya dikompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM539,354 dan selebihnya 186 kes masih dalam siasatan” Azimah