Tak sempat naik kapal terbang
Suspek godam e-undi PKR Cabang Julau ditahan
Seorang lelaki ditahan di Lapangan Terbang Sibu di sini, semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes godam e-undi sehingga menjejaskan proses pemilihan PKR Cabang Julau, kelmarin.
Suspek berusia 44 tahun yang juga pakar teknologi maklumat (IT) berasal dari Subang Jaya, Selangor itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Sibujaya di sini, kira-kira jam 9.45 pagi ketika mahu menaiki penerbangan pulang ke ibu negara.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, penahanan lelaki itu susulan laporan yang dibuat Exco Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail di Balai Polis Julau, malam kelmarin.
Menurutnya, kini suspek disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
“Jika siasatan dapat diselesaikan, suspek dibebaskan dengan jaminan polis tetapi jika siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, permohonan reman mengikut 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dimohon,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Turut dirampas daripada suspek yang bertugas di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya itu adalah sebuah komputer riba, satu tablet, dua telefon bimbit dan lima pemacu pena
Mustafa berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan komputer.
Katanya, berdasarkan laporan yang dibuat, pengubahsuaian pada peranti yang digunakan untuk sistem e-undi bagi pemilihan PKR Cabang Julau itu dikesan pada jam 2.30 petang kelmarin.
Pengadu, Rodziah, mengesyaki suspek menggodam sistem e-undi selepas mendapati lelaki itu meneliti satu persatu peranti yang digunakan dalam proses pengundian itu.
Berikutan itu, keputusan pengundian bagi Cabang Julau yang menjadi penentu nasib bakal Timbalan Presiden PKR terpaksa digantung.
Julau yang memiliki 13,000 ahli berdaftar menjadi perhatian berikutan persaingan sengit antara penyandang jawatan berkenaan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan pencabarnya, Rafizi Ramli.
Cabang Julau dikenal pasti kawasan penyokong kuat Rafizi dan bekas Ahli Parlimen Pandan itu berada di pusat pengundian di Kompleks Sukan Julau sepanjang proses pemilihan.