Persediaan hadapi SPM
Pegawai Psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Sarawak, Hairunisah Abdul Rahman berkongsi panduan yang boleh diamalkan sebagai persediaan akhir menduduki peperiksaan.
1. DATANG AWAL KE DEWAN PEPERIKSAAN
Anda sebaik-baiknya datang ke dewan peperiksaan dengan lebih awal sekurang-kurangnya 30 minit sebelum peperiksaan bermula. Oleh itu, anda seharusnya mempersiapkan diri dengan lebih awal ketika di rumah dan memastikan segala peralatan yang akan digunakan untuk ‘berperang’ di dewan peperiksaan lengkap dan dikemas dengan baik.
Hal ini penting bagi mengurangkan perasaan cemas dan mengelakkan daripada tertinggal keperluan penting terutama kad pengenalan, slip peperiksaan, alat tulis dan sebagainya. Berikan ruang masa kepada diri untuk ‘bernafas’ sebelum masuk ke dewan peperiksaan.
2. DAPATKAN REHAT SECUKUPNYA
Beberapa hari sebelum peperiksaan bermula, tekanan atau stres akan mula melanda diri. Hal ini boleh berlaku kerana terdapat sesetengah pelajar yang akan belajar pada saat akhir sehingga terpaksa berjaga pada lewat malam dan akhirnya akan kepenatan pada keesokan hari untuk menduduki peperiksaan.
Seharusnya masa yang tinggal beberapa hari itu digunakan dengan sebaiknya dengan mendapatkan tidur yang secukupnya menjelang peperiksaan bermula. Selain itu, anda juga boleh mengamalkan teknik pernafasan yang betul (dengan menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahanlahan) kerana membolehkan otak mendapat bekalan oksigen yang secukupnya.
3. BERFIKIRAN POSITIF
Teknik berfikir yang positif mampu memberikan impak yang besar kepada hidup seseorang individu terutama bagi pelajar yang bakal menduduki SPM. Berfikiran positif akan turut memberi kesan yang baik terhadap psikologi dan fizikal seseorang.
Antaranya ialah kadar degupan jantung menjadi lebih baik dan suhu badan yang normal. Hal ini sekali gus akan memberikan keyakinan kepada diri anda ketika hendak menjawab soalan peperiksaan kelak.
4. ELAKKAN RAKAN YANG NEGATIF
Anda mungkin pernah memiliki rakan yang suka berfikiran negatif terutamanya ketika SPM hampir menjelang atau ketika menghadapi peperiksaan kelak. Apatah lagi jika rakan ini sering meluahkan perasaan cemas, takut dan disertai dengan riak wajah yang ketakutan ketika keluar dari dewan peperiksaan.
Riak wajah yang ditunjukkan oleh rakan secara tidak langsung mampu mempengaruhi emosi anda untuk merasai perasaan yang sama seperti mereka. Akhirnya, anda juga akan turut berasa cemas dan tidak dapat belajar atau menjawab soalan dengan baik ketika
5. MENJAGA PERHUBUNGAN DENGAN ALLAH SWT
Perkara pokok yang menjadi asas kepada kunci kehidupan sebagai seorang manusia adalah mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta.
Dalam kesibukan anda sebagai pelajar yang bakal menduduki SPM akan datang, solat dan doa tidak seharusnya anda tinggalkan. Pada ketika ini, banyakkan bacaan al-Quran serta solat hajat memohon kepada-Nya agar dipermudahkan urusan sepanjang menjawab soalan peperiksaan dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam hidup anda.
Selain itu, banyakkan amalan bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Sekiranya kita suka membantu orang yang memerlukan, insya-Allah, Allah akan mempermudahkan segala urusan kita pada kemudian hari.