3 menu paling laris
Apabila pulang ke rumah barulah dia terfikir bagaimana mahu membuka perniagaan itu kerana tiada pengalaman. Namun dibesarkan dalam keluarga peniaga dan ibu turut membuka kedai makan di Kampung Baru membuatkan segala-galanya menjadi mudah.
“Ibu adalah inspirasi saya dalam perniagaan.
Ibu sangat istimewa dan hebat kerana dia bukan saja berjaya sebagai usahawan tetapi mampu membesarkan anak seramai 17 orang sendirian.
“Malah zaman kanakkanak saya menyeronokkan sebab kami dibesarkan dalam keluarga besar dan hidup dalam suasana bahagia,” katanya.
Sharifah bersyukur walaupun tiada pendedahan, dia mendapat tunjuk ajar daripada dua kakaknya, Datin Sharifah Nafisah dan Sharifah Husna. Selain mengambil resipi ibu, dia mula mencari pekerja bagi menjalankan operasi di bahagian dapur yang ditempatkan di Kampung Baru.
“Saya mencari konsep dan dekorasi untuk bahagian dalaman kafe. Jadi untuk rekaan dalaman hampir keseluruhannya dihasilkan sendiri. Begitu juga resipi yang diambil daripada ibu,” katanya.
Berkat kegigihan dan usaha tanpa jemu, Sharifah membuktikan perniagaannya dikenali ramai dan sinonim dengan masyarakat negara ini.
Anak kelahiran Perlis ini berkata, daripada 40 jenis kuih, antara yang menjadi pilihan ramai adalah bingka ubi kayu, seri muka dan kuih lapis.
“Tiga menu ini paling laris, kadangkala tak sampai waktu tengah hari sudah habis. Mereka yang selalu membeli pasti akan membuat tempahan atau datang awal untuk menikmati kuih kesukaan mereka,” katanya yang kadangkala menerima tempahan kuih daripada pihak korporat untuk tujuan mesyuarat dan minum petang.
Katanya, selain manisan, makanan berat seperti nasi lemak, nasi dagang, nasi tomato, mi kari, laksa Johor dan soto turut disediakan. Masakan tradisional popular lain kebanyakan negeri turut disajikan setiap hari.
“Kuih-muih yang menjadi menu kegemaran ramai dihasilkan segar setiap hari dan dihantar ke semua kedai. Ia juga berkhasiat kerana kurang manis. Seawal jam 7 pagi, kafe sudah beroperasi dan
Bingka ubi, seri muka dan kuih lapis digemari pelanggan kafe milik Sharifah
ada pelanggan sanggup menunggu sehingga pintu kedai dibuka.
“Memang saya sangat mengutamakan pelanggan. Sebab itu saya akan pastikan hidangan kesukaan mereka sentiasa ada di kafe,” katanya.
Menurut Sharifah, pada awal operasi, memang ada yang memandang sinis harga ditawarkan, tidak kurang juga bertanya dua tiga kali ketika membuat pembayaran. Namun lamakelamaan pelanggan boleh menerima keadaan ini dan sedar, harga yang dibayar berbaloi dengan kualiti sajian.
“Kami hasilkan makanan bukan seperti untuk dijual tetapi lebih kepada dimakan sendiri. Jadi rasanya juga berbeza berbanding penyediaan secara banyak yang kadangkala menjejaskan kualiti rasa.
“Sebab itu menu kami mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat mahupun pelancong asing,” katanya.
GIGIH BERNIAGA SEJAK REMAJA
Anak ke-14 daripada 17 adik-beradik ini sebenarnya bukan calang-calang wanita kerana dia memiliki jiwa yang besar serta tidak gentar menghadapi cabaran dalam dunia perniagaan.
Sharifah berkata, ia banyak diwarisi daripada ibu yang juga usahawan ketika itu. Sejak zaman kanak-kanak dia mengikut ibu berniaga kedai makan. Lama-kelamaan ia menjadi satu keseronokan.
“Sebab itu saya tidak gemar dengan kerja di pejabat, sebaliknya sukakan sesuatu yang dapat dilakukan mengikut kreativiti sendiri,” katanya.
Menurut Sharifah, selepas tamat matrikulasi, dia memohon menjadi pramugari meskipun tidak dipersetujui keluarga. Namun dia tetap menyertai Malaysia Singapore Airlines (MSA) pada 1970 dan menjadi pramugari perintis Penerbangan Malaysia (MAS) pada 1972.
Ketika menjadi pramugari, bakat berniaga Sharifah mula terserlah. Ketika di luar negara dia membeli pakaian dan ramai berminat dengan pakaian dipilih.
“Memandangkan minat berniaga, saya beli pelbagai jenis pakaian dan menjualnya. Semangat untuk berniaga semakin membara kerana apa saja benda yang dibeli habis terjual,” katanya yang melangsungkan perkahwinan pada November 1972 dan terus mengikut suaminya ke luar negara melanjutkan pengajian.
Sekembalinya ke Malaysia, meskipun mempunyai kelulusan diploma dalam bidang kosmetologi, dia tidak berminat bekerja dalam bidang itu, sebaliknya mula mengumpul idea dan strategi untuk membuka perniagaan.
“Disebabkan minat saya terhadap seni, pada 1985 saya menjadi pengeluar batik dan beroperasi di sebuah banglo. Kebanyakan pelanggan adalah wanita yang inginkan gaya mewah dan eksklusif dengan koleksi batik,” katanya.
Selepas 20 tahun terbabit dalam perniagaan makanan, matlamatnya semakin jelas iaitu ingin memberikan sesuatu kepada masyarakat terutama generasi muda. Kebanyakannya tidak kenal kuih-muih tradisional kerana sering didedahkan dengan makanan segera.
“Ini yang saya ingin perjuangkan supaya kuih tradisional tidak luput ditelan zaman walaupun dengan kehadiran pelbagai makanan segera dari luar negara,” katanya. - Siti Zarinah Sahib