Belanjawan 2019 dilihat mampu tarik pelaburan
Cadangan dalam Belanjawan 2019 akan mengukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab perniagaan, inovasi dan sumber bakat bagi perusahaan multinasional gergasi (MNC), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) InvestKL, Datuk Zainal Amanshah.
Langkah yang dicadangkan dilihat akan membantu menarik pelaburan langsung asing, termasuk peruntukan berjumlah RM210 juta bagi menggalakkan peralihan ke arah Industri 4.0 (IR 4.0) serta rancangan untuk meningkatkan kemahiran graduan tempatan, katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Greater Kuala Lumpur telah menjadi lokasi yang sesuai, menempatkan banyak MNC dengan teknologi IR 4.0 yang akan mempromosi serta menarik lebih banyak syarikat multinasional untuk menggunakan kawasan ini bagi mengasaskan perniagaan mereka sehingga menukarkan kota ini kepada hab inovasi digital serantau.
Sementara itu, CEO Hitachi Sunway Information System Group, Cheah Kok Hoong meramalkan peningkatan penggunaan IR 4.0 akan membawa kepada pertambahan permintaan bagi pengurusan penyelesaian keselamatan siber, perkhidmatan pusat data dan pengurusan kitaran hayat produk.
“Malaysia sedang dalam laluan bagi memperkukuhkan dirinya sendiri. Kami yakin transformasi digital seperti Internet untuk Pelbagai Perkara dan Kecerdasan Buatan akan penjadi pemacu pemboleh pertumbuhan negara.
“Oleh itu, dengan pengenalan beberapa insentif cukai, ini akan mempercepatkan penggunaan IR 4.0,” katanya.