SHAHIDAN MENGAKU TAK BERSALAH
Shahidan mengaku tidak bersalah kes cabul
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan mencabul gadis bawah umur, bulan lalu.
Tertuduh yang juga Ahli Parlimen Arau berusia 67 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Johari Hassan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Shahidan didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja berusia 15 tahun dalam kereta Toyota Harrier di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, jam 11.30 malam, 20 Oktober lalu.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan.
Tertuduh dalam rayuan meminta mahkamah menarik balik notis waran tangkap ke atasnya memandangkan dia tidak pernah diberikan notis untuk hadir ke mahkamah pada 9 November lalu.
Dalam rayuan juga dia berkata, pada tarikh dikehendaki hadir ke mahkamah, dia berada di Makkah bagi menunaikan umrah.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Thalia Rohana Abd Latiff, Zuhair Ahmad Zakwan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.
Mohd Nordin pula dalam hujahnya memohon mahkamah menahan pasport tertuduh bagi memastikan Shahidan tidak melarikan diri ke luar negara ketika perbicaraan berlangsung.
Selain itu, pihak pendakwaan juga memohon mahkamah supaya tertuduh tidak boleh menghampiri atau menghubungi mangsa sepanjang perbicaraan berlangsung selain meminta mahkamah mengenakan jaminan yang tinggi kepada tertuduh.
Sementara itu, Thalia Rohana yang mengetuai barisan peguam yang mewakili Shahidan dalam hujah balas berkata, tidak wajar bagi mahkamah menahan pasport tertuduh memandangkan tertuduh ketua delegasi dalam Parlimen yang harus ke luar negara bagi memenuhi jemputan penyelesaian beberapa isu.
Selain itu, tertuduh yang juga pernah menjadi Menteri Besar Perlis sering memberikan kerjasama tidak berbelah bagi kepada polis ketika siasatan dilakukan.
Malah, sebagai anak jati Perlis yang menetap di negeri itu tidak relevan untuk tertuduh yang diletakkan sebagai flight risk sebagai satu cubaan untuk melarikan diri ketika perbicaraan.
Thalia Rohana memberi jaminan anak guamnya akan hadir dalam setiap perbicaraan yang berlangsung.
Mahkamah kemudian menetapkan RM25,000 sebagai bon jaminan dengan dua penjamin kepada tertuduh dan kes disebut semula pada 8 Januari depan.
Anak dan menantu tertuduh, Ameer Shafiq Shahidan dan Muhamad Lukman Abdul Rashid bertindak sebagai penjamin.
Sementara itu, pekarangan mahkamah dipenuhi dengan penyokong Shahidan yang memberi sokongan kepada pemimpin berkenaan serta mengikuti prosiding kes berkenaan.
Shahidan tiba di pekarangan mahkamah jam 8.20 pagi ditemani isterinya, Datin Seri Shamsiah Md Yassin serta ahli keluarganya.
Laluan di hadapan kompleks mahkamah turut dikawal anggota trafik.