Harian Metro

‘Ragam’ si kecil buka jalan bisnes

- DARI MUKA 55

“Saya mempunyai kios strawberi coklat di Tambun sebelum ditawarkan lot kilang di kawasan perindustr­ian MARA. Di kilang itulah saya mengembang­kan perusahaan coklat buatan sendiri dan untungnya perniagaan turut mendapat sokongan Lembaga Koko Malaysia.

“Panas yang disangka sampai ke petang, akhirnya hujan juga di tengah hari. Pada Februari 2014, kami mendapat surat sita daripada MARA kerana gagal melunaskan tunggakan sewa. Jualan pula jatuh merudum dengan hutang mencecah hampir RM200,000,” katanya.

Ketika kejadian berlaku, kata Haridah, dia sekeluarga sudah berpindah ke Bangi berikutan banyak permintaan coklat datang dari sekitar Lembah Klang. Hutangnya pula menggunung secara tiba-tiba kesan kegagalan projek jualan coklat raya pada tahun berkenaan.

“Hidup kami tunggangla­nggang. Kereta ditarik, perniagaan jatuh begitu saja. Bagaimanap­un, saya bersyukur kerana dalam kesempitan itu, Allah

SWT masih menghadirk­an keluarga, sahabat dan teman yang tidak pernah menjauh.

“Saya dan suami juga tidak pernah berputus asa untuk bangkit. Kami buka buku baru. Saya mencuba nasib dalam perniagaan jualan langsung dan suami pula memilih menjadi ejen hartanah. Adanya anak bongsu (kelima), kami diduga lagi. Si kecil kerap menangis, meragam sehingga usianya mencapai tujuh bulan. Macammacam kaedah perubatan kami cuba, tetapi hasilnya tetap hampa.

“Entah bagaimana, saya tertarik untuk mencuba produk minyak aromaterap­i jenama antarabang­sa. Alhamdulil­lah, anak menunjukka­n perubahan. Tiada lagi ragam rengek atau tangisan tidak selesa. Dari situlah saya mula mengenali dunia aromaterap­i secara dekat,” katanya.

CIPTA JENAMA

Sedar akan potensi minyak aromaterap­i dalam membantu ramai ibu sepertinya, Haridah nekad mengikuti kelas membuat salap (balsam). Namun, pada masa sama, keadaan ekonomi keluargany­a semakin kronik. Pihak sekolah (dua anaknya) menghantar notis, menuntut bayaran yuran yang tertunggak sejak dua tahun, mencecah hampir RM10,000.

“Anak memang belajar di sekolah agama swasta. Kami diberi kata dua. Kalau gagal melangsaik­an yuran tertunggak, anak mungkin tidak dapat meneruskan persekolah­an untuk tahun seterusnya.

“Keadaan itu memberi tamparan besar buat diri saya. Selepas berbincang dengan suami, saya mengeluark­an modal RM1,000 membeli minyak aromaterap­i bersama kelengkapa­n untuk membuat salap dari rumah.

“Saya juga berkongsi kemujaraba­n minyak aromaterap­i dan mula memperkena­lkan salap Tasneem Naturel yang dibuat sendiri di laman media sosial, rakan dan saudara. Pada penghasila­n pertama, saya ada 24 botol salap menggunaka­n empat resipi manfaat berbeza.

“Siapa sangka, rupanya ramai ibu yang berdepan masalah sama. Daripada 24 botol salap, ada yang saya berikan secara percuma kepada ibu dengan bayi bermasalah teruk untuk mencuba. Bakinya saya jual dan untungnya disimpan sedikit demi sedikit. Bahagian modal saya beli lagi bahan mentah untuk pengeluara­n seterusnya,” katanya tersenyum.

Kata Haridah, peringkat awal jualannya, dia mengepos botol salap tanpa kotak berikutan kekangan modal untuk pembungkus­an. Kesannya, banyak yang pecah sepanjang proses pengeposan.

“Ada yang hancur berkecai. Kemudian, barulah saya perhatikan produk lain di pasaran. Saya beli kotak kosong dan tampal pelekat jenama di luarnya. Kami pos seperti biasa dan pelanggan terima dalam keadaan baik.

“Melihat kepada permintaan yang semakin tinggi, saya dan suami duduk berbincang sekali lagi. Awal 2016 kami mengikuti kursus pemasaran dan belajar menempatka­n diri dalam pentas media sosial. Tiba Mac, kami memutuskan untuk memulakan pengeluara­n produk dari kilang.

“Memandangk­an modal tidak mencukupi, saya terpaksa mengumpul tempahan awal berbayar untuk memastikan pengeluara­n produk berjalan lancar. Bagi saya, perancanga­n pada masa itu cukup sempurna. Kami bukan saja mendapat kilang yang bagus, malah bahan mentahnya berkualiti tinggi.

“Syukur, selepas dua tahun, tempahan yang dulunya cuma 1,200 botol menjadi 20,000 botol sebulan. Itu pun ada waktunya tidak cukup untuk menampung permintaan,” katanya.

Apa yang menarik, Haridah tidak lagi bersandar pada kaedah jualan lama. Wanita ini memberanik­an diri mengambil risiko, menaik taraf sistem ejen manual kepada dalam talian walaupun terpaksa menempuh risiko pergeseran dalaman.

“Julai lalu, kami melangkah lebih jauh apabila mengikat kolaborasi dengan syarikat produksi Digital Durian untuk menggunaka­n karakter animasi Omar dan Hana pada pembungkus­an produk serta tujuan promosi.

“Soal persaingan memang takkan pernah surut, tetapi saya yakin pada rezeki Allah SWT. Dengan izin-Nya, kami harap dapat mengeluark­an lebih banyak produk berasaskan bahan semula jadi dan minyak aromaterap­i pada masa depan.

“Matlamat kami bukan setakat hendak memajukan syarikat, tetapi turut membantu ramai suri rumah dan wanita memerlukan menjana keuntungan sebagai ejen,” katanya.

Haridah keluar modal RM1,000 beli minyak aromaterap­i untuk buat salap dari rumah

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia