Harian Metro

Bapa belasah anak 4 tahun

-

Seorang bapa sanggup mencekik dan membelasah anak lelakinya berusia empat tahun selepas marah kerana tidak diberikan wang oleh isterinya pada kejadian di Kampung Feri, Jalan Menawo di sini, jam 8 pagi Rabu lalu.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit dikatakan cuba ‘melempar’ anaknya ke tengah jalan besar yang ketika itu dilalui banyak kenderaan, namun dihalang abang iparnya.

Pada kejadian itu, lelaki berusia 26 tahun terbabit dikatakan menemui isterinya yang menumpang di rumah abang wanita itu berikutan pasangan terbabit dalam proses perceraian.

Bagaimanap­un, sebaik permintaan­nya ditolak, lelaki terbabit terus mengamuk dan menarik anak lelakinya sebelum diheret ke jalan besar, kira-kira 50 meter dari rumah berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau Asisten Superinten­dan Lee Nyuk Kim berkata, suspek kemudianny­a ditahan orang ramai yang kemudianny­a menghubung­i polis.

“Mangsa cedera di leher dan dirujuk ke Hospital Keningau. Hasil siasatan awal, mangsa, adik lelakinya yang berusia 18 bulan dan ibu mereka menumpang sementara di rumah bapa saudara.

“Suspek pula tidak bekerja dan segala perbelanja­an keluarga itu sebelum ini ditanggung oleh isterinya,” katanya, semalam.

Nyuk Kim berkata, suspek direman hingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan kerana menggunaka­n kad pengenalan palsu pada sekatan jalan di Jalan Apin-Apin, malam kelmarin.

Lelaki berusia 25 tahun itu mengaku kad pengenalan berkenaan palsu dan dibeli daripada lelaki dikenali sebagai Paul pada harga RM3,000.

“Suspek cuba menyogok RM500 kepada anggota polis sebelum ditahan mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftara­n Negara (PPPN) 1990 dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia