Harian Metro

Norshahrul berat hati terima kekalahan

-

Harimau Malaya Norshahrul Idlan Talaha tidak berpuas hati dengan kekalahan 0-2 kepada Vietnam kelmarin dan berharap dapat bertemu sekali lagi dalam kempen Piala AFF 2018.

Dalam aksi Kumpulan A di Stadium Nasional My Dinh itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe mendominas­i permainan, namun dikecewaka­n dengan serangan balas pantas pasukan tuan rumah.

Malaysia yang mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan masih berpeluang untuk layak ke separuh akhir dengan syarat menewaskan Myanmar pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil 24 November ini.

Pergerakan Norshahrul, 32, dikawal ketat pemain tuan rumah dan dia berharap skuad Harimau Malaya masih dapat meloloskan diri ke pusingan seterusnya serta kemungkina­n boleh bertemu Vietnam di final.

“Saya tengok perlawanan malam ini (kelmarin) kita bermain dengan bagus. Semua pemain memberikan 100 peratus komitmen. Cuma cara Vietnam bermain, mereka berjaya mencipta dua peluang dan menjaringk­an dua gol.

“Mungkin selepas ini, saya sangat berharap mahu bertemu kembali dengan Vietnam, saya memang tidak berpuas hati dengan mereka.

“Kita cuba fokus satu demi satu perlawanan, kutip tiga mata dengan Myanmar dan insya-Allah jika kita masuk final bertemu semula dengan Vietnam, kita akan bermain lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, kelmarin.

Buat kali pertama Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo gagal meledak gol selepas membantu pasukan menewaskan Kemboja 1-0 dan Laos 3-1.

Namun, pemain Pahang yang membantu skuad negara menjulang trofi Piala AFF 2010 itu tetap yakin mampu mengatasi Myanmar pada perlawanan terakhir kumpulan.

“Saya optimis kita akan menang dengan Myanmar dengan cara kita bermain malam ini (kelmarin), ia berbeza dengan corak ketika bertemu Kemboja dan Laos.

“Kita sudah bermain bagus, namun malangnya kita kalah, tetapi berdasarka­n prestasi sekarang, saya yakin kita boleh menang,” kata Norshahrul.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia