Harian Metro

Pengurus pub maut ditetak

- Nor Azizah Mokhtar cnews@nstp.com.my

 Rakaman CCTV dedah pergaduhan awal

Seorang pengurus pusat hiburan maut ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah pub di Pusat Perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8 di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.38 pagi, mangsa yang berusia 28 tahun diserang lelaki bersenjata­kan parang ketika berdiri di luar pub itu bersama lelaki lain.

Mangsa yang menetap di Maxwell Towers, Jalan Gasing Indah di sini, disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati berlaku pergaduhan awal antara kumpulan lelaki di hadapan pub itu jam 5.32 pagi.

“Sejam selepas itu, kumpulan lelaki yang menaiki empat kenderaan Perodua Myvi, Honda HRV, Volkswagen Golf dan Toyota Camry tiba ke lokasi dengan bersenjata­kan parang dan menyerang mangsa.

“Dalam keadaan cedera, mangsa sempat melarikan diri masuk ke dalam pub itu untuk menyelamat­kan diri sebelum semua suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Susulan kejadian itu, katanya, pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 20 dan 31 tahun untuk membantu siasatan dan merampas empat kereta.

“Kami menemui tiga parang dalam sebuah kereta milik suspek yang ditahan.

“Siasatan masih diteruskan berhubung motif kejadian itu dan usaha mengesan baki suspek dijalankan,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, mayat pengurus pusat hiburan itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

 ??  ?? ANGGOTA polis memeriksa mangsa bunuh di Pusat Perniagaan 8 Avenue, Petaling Jaya, semalam.
ANGGOTA polis memeriksa mangsa bunuh di Pusat Perniagaan 8 Avenue, Petaling Jaya, semalam.
 ??  ?? KERETA seorang daripada suspek diperiksa anggota polis.
KERETA seorang daripada suspek diperiksa anggota polis.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia