Harian Metro

Kudung bukan alasan murung

-

“Saya terima ujian Allah SWT dan bersyukur kerana sempat menamatkan pengajian Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Tiga dalam bidang proses kimpalan.

“Walaupun kehidupan kini tidak sempurna, ia bukan alasan untuk saya murung dan malu,” kata Muhammad Noorhidaya­t Yusman, 20, pemilik bengkel baiki motosikal yang kudung kaki kiri akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya, Januari lalu.

Menurutnya, dalam kejadian itu, dia yang menunggang motosikal bersama rakannya parah selepas merempuh kereta yang membuat pusingan U di Jalan Kuala Pilah-Seremban menyebabka­n mereka melambung dan terjatuh di atas jalan.

“Ketika kejadian, kami dalam perjalanan pulang dari pekan Kuala Pilah ke rumah yang terletak dua kilometer dari lokasi kemalangan.

“Saya tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta terbabit. Selepas itu, saya dalam keadaan separuh sedar manakala rakan saya cedera di muka dan tidak sedarkan diri.

“Apabila mahu mengangkat kaki kiri, saya rasa macam kaki saya terjatuh sebelum diberitahu kaki terbabit hancur.

“Saya dibawa ke Hospital Kuala Pilah dan dirawat tiga bulan,” katanya yang menetap di Taman Seri Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Bekas pelajar Pusat Giat MARA Kuala Pilah itu berkata, dia perlu bangkit semula dan tidak mahu bergantung kepada sesiapa walaupun menyedari kekurangan diri.

“Alhamdulil­lah, saya dan rakan membuka bengkel motosikal secara kecil-kecilan selepas kejadian itu, Mei lalu.

“Memang rindu hendak buat kerja kimpalan kerana ia kemahiran saya namun kudrat saya tidak mampu untuk mengangkat barang berat.

“Pergerakan saya terbatas kerana kaki kiri dipasang kaki palsu tidak mampu berdiri lama. Ada masa kaki saya berasa ngilu dan berdenyut-denyut. Apa yang mampu saya lakukan ialah membaiki dan mengambil tempahan membuat ekzos motosikal.

“Bayaran yang dikenakan untuk membuat satu ekzos antara RM150 hingga RM200. Alhamdulil­lah, dalam sebulan pendapatan saya boleh mencecah antara RM1,000 hingga RM1,500,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Baitulmal Kuala Pilah kerana membantu mendapatka­nnya kaki palsu daripada syarikat Kedidi Kaki Palsu selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250 sebulan.

“Kaki palsu yang baru diterima ini lebih selesa dan tidak menyebabka­n saya rasa sakit atau cedera ketika berjalan, malah saiz dan bentuknya sesuai dengan lutut saya.

“Selepas beberapa jam memakai kaki palsu, saya sudah boleh mengimbang­kan diri ketika berjalan tanpa menggunaka­n tongkat,” katanya.

 ??  ?? NOORHIDAYA­T (gambar bulat) kini gigih usahakan khidmat baiki motosikal.
NOORHIDAYA­T (gambar bulat) kini gigih usahakan khidmat baiki motosikal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia