Harian Metro

ARENA SCRIVENER, FLANAGAN, KIM DAHULUI SAINGAN

- AFP

 Terbuka Vic gabung pemain lelaki dan wanita di lapangan sama

Pemain tuan rumah, Jason Scrivener dan Nick Flanagan berkongsi kedudukan selaku pendahulu dengan kelebihan dua pukulan manakala pemain Amerika Syarkat, Kim Kaufman mengetuai acara bagi wanita di kejohanan Terbuka Vic, semalam.

Acara itu yang mendapat sokongan penuh Jelajah Eropah dan Jelajah LPGA, adalah satu-satunya pertanding­an di dunia yang menggabung­kan pemain lelaki dan wanita di lapangan sama tetapi bermain dalam kumpulan masing-masing.

Kumpulan lelaki dan wanita akan bermula secara bergilir-gilir serta hadiah wang tunai yang menanti pemenang juga tidak berbeza.

Scrivener membenam enam birdie untuk mencatat enam di bawah par 66 pada hari kedua, manakala Flanagan yang juga bekas juara amatur AS, mencatat 68 selepas melakukan 62 pukulan pada hari pertama.

“Ia memang hari yang baik buat saya,” kata Scrivener yang sebelum ini menduduki kelompok 10 terbaik dalam tiga acara Jelajah Eropah.

“Saya hanya perlu bersabar. Saya yakin peluang untuk membenam birdie akan tiba juga. Jika anda terlalu terburu-buru, anda mungkin melakukan kesilapan. Justeru, saya hanya perlu menanti saat itu tiba.”

James Nitties yang membenam sembilan birdie berturut-turut untuk menyamai rekod dunia di Beach Golf Links di selatan Melbourne minggu lalu, hanya berjaya melakukan satu birdie untuk mencatat 74 pukulan. Impiannya untuk mencatat pukulan lebih baik dirosakkan double bogey di lubang 18.

Sementara itu, Kim yang tidak pernah menang Jelajah LPGA, meletakkan dirinya di puncak senarai selepas melakukan 66 pukulan buat kali kedua berturut-turut dan memiliki kelebihan dua pukulan berbanding pesaing terdekat, Haru Nomura dari Jepun.

“Saya berjaya mengulangi pencapaian semalam. Saya bermain baik terutama di semua lubang par 5. Saya seronok dengan apa yang sedang saya nikmati,” kata Kim.

“Tahun lalu, apabila saya mendapat tahu acara serentak antara lelaki dan wanita akan diadakan, saya tidak sabar untuk bermain,” katanya. “Saya tidak dikir ada pemain yang tidak suka dengan idea ini.”

Pemain England, Felicity Johnson yang muncul pendahulu hari pertama, hanya berupaya mencatat 74 pukulan pada hari kedua dan ketinggala­n tujuh pukulan di belakang.

 ??  ?? SCRIVENER catat enam di bawah par 66.
SCRIVENER catat enam di bawah par 66.
 ??  ?? AKSI Flanagan di Terbuka Vic. KIM antara pemain wanita yang menyertai Terbuka Vic.
AKSI Flanagan di Terbuka Vic. KIM antara pemain wanita yang menyertai Terbuka Vic.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia