Harian Metro

Penduduk rakam pemandu buang puntung rokok

-

Johor Bahru: Seorang pemandu berdepan kompaun maksimum RM500 selepas perbuatann­ya membuang puntung rokok dari kenderaan dirakam penduduk sebelum diserahkan kepada penguat kuasa Majlis Perbandara­n Pengerang (MPP), minggu lalu.

Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang Bukhari Abd Rahman berkata, bertindak atas gambar dirakam penduduk prihatin, pihaknya menjalanka­n siasatan bagi mengesan lelaki terbabit.

“Kejadian berlaku di sekitar Jalan Ungku Abdul Aziz, Bandar Penawar dan hasil kerjasama beberapa agensi kerajaan lain, kami berjaya mengesan alamat mengikut nombor pendaftara­n kenderaan.

“Bahagian penguat kuasa sudah mengambil tindakan dengan mengeluark­an kompaun dan menyerahka­nnya kepada lelaki terbabit mengikut Seksyen 3(a) Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran PBT Pengerang 2017, jika sabit kesalahan boleh dikompaun maksimum RM500.

“Dalam kejadian ini, kami berjaya mengenal pasti pesalah yang membuang sampah hasil kerjasama orang ramai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengalu-alukan keprihatin­an penduduk merakamkan gambar pesalah membuang sampah, vandalisme atau merokok di kawasan larangan supaya tindakan susulan dapat diambil.

Menurutnya, gambar perlu disertakan maklumat lengkap seperti masa, tarikh serta lokasi dan boleh dilaporkan kepada PBT Pengerang di nombor 019-7113532.

Katanya, identiti pemberi maklumat adalah rahsia bagi memastikan keselamata­n mereka terjamin, namun pada masa sama pihaknya akan memberikan saguhati termasuk sijil penghargaa­n kepada pengadu.

“Tindakan mereka menjadi telinga dan mata PBT Pengerang boleh membantu menjadikan bandar ini lebih bersih dan bebas sampah.

“Bagaimanap­un, kami menasihatk­an mereka berhati-hati dan sentiasa menjaga keselamata­n diri,” katanya.

Menurutnya, seiring dengan revolusi industri 4.0, PBT Pengerang komited membangunk­an Pengerang sebagai sebuah bandar pintar bertaraf antarabang­sa.

Katanya, untuk menjadikan PBT Pengerang antara yang terbaik di negara ini, empat komponen utama digariskan dalam Pengerang Pintar iaitu smart traffic light, smart infra, Pengerang Apps dan digital bunting.

“Kami mempunyai perancanga­n untuk memajukan bandar ini namun memerlukan kerjasama semua pihak, sama ada kakitangan mahupun penduduk Pengerang sendiri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia