Memori tarikh hari jadi
Kuala Terengganu: “Tanggal 14 November selepas ini pasti menjadi kenangan buat kami kerana ia tarikh kelahiran Abdul Bari dan pada tarikh sama pada tahun lalu, dia memuat naik status mengenai kematian di laman
(FB) .”
Demikian dikongsikan Siti Fajariah Mohd, kakak sulung Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang ditemui lemas semalam, selepas cuba menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden pacuan empat roda terjunam ke muara sungai di Pulau Warisan di sini, malam kelmarin.
Abdul Bari sebelum ini memuat naik status FB berbunyi ‘Yang aku takut jika ajal yang tibe (tiba) dulu’ dan mendapat perhatian netizen di laman sosial.
Siti Fajariah berkata, menjadi rutin pada setiap 14 November, Abdul Bari akan menyambut hari kelahirannya bersama dua lagi anak saudaranya yang berkongsi bulan kelahiran sama.
“Ia kelaziman kami setiap tahun. Arwah rapat dengan anak saudaranya kerana dia suka mengusik dan bergurau dengan mereka. Majlis sambutan diadakan setiap tahun, tetapi tidaklah besar, sekadar dihadiri ahli keluarga.
“Tidak tahulah tahun ini hendak sambut atau tidak, kerana pastinya selepas ini sudah tidak sama lagi. Tentu kami sedih kerana dia tidak dapat bersama meraikannya.
“Bagaimanapun, mungkin juga sambutan ini diteruskan setiap tahun kerana itu antara kenangan yang mengingatkan kami kepada arwah,” katanya di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.
Siti Fajariah yang bekerja di Pejabat Kesihatan Kuala Terengganu berkata, dia sebak ketika menikmati hidangan gulai patin tempoyak, semalam kerana ia adalah menu kegemaran Abdul Bari.
“Ketika ingin menyuap makanan, saya terkenangkan hidangan kegemaran arwah ini. Dia pasti akan makan bertambah jika dihidangkan menu,” katanya yang baru selesai berpantang kerana bersalin.
Abdul Bari ditemui lemas jam 7.23 pagi semalam di muara Sungai Terengganu untuk menyelamatkan lima sekeluarga.