Harian Metro

Kesumat tak sudah

- Shamsul Munir Safini cnews@nstp.com.my

 Lelaki guna akaun palsu muat naik kenyataan perkauman ditahan

Seorang lelaki diberkas polis di Bukit Mertajam malam kelmarin selepas menggunaka­n akaun palsu Facebook untuk memuat naik kenyataan berunsur perkauman bertujuan melakukan khianat.

Dalam kejadian Khamis lalu, kenyataan dimuat naik lelaki berkenaan disedari seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga pengurus kilang di Bayan Baru sebelum melaporkan­nya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, A A Anbalagan berkata, pada jam 3.30 petang Khamis lalu, pengurus kilang di situ yang juga mangsa menyedari gambarnya berserta kata-kata provokasi perkauman dimuat naik di akaun Facebook milik individu yang dikenaliny­a.

“Keterangan pada gambarnya yang dimuat naik itu disertakan dengan kata-kata kesat memaki satu kaum di negara ini.

“Akaun palsu itu juga menggunaka­n gambar seorang perempuan yang juga pekerja di kilang itu,” katanya.

Katanya, mangsa percaya akaun Facebook palsu itu sengaja dicipta untuk memfitnahn­ya bagi mengundang kemarahan orang ramai terhadap dirinya.

Menurut Anbalagan, mangsa percaya ia dilakukan suspek yang juga bekas pekerja di situ kerana berdendam kepadanya.

“Dia percaya suspek melakukan perkara itu bagi memburukka­n nama pengadu.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada jam 5.18 petang Khamis lalu,” katanya.

Hasil siasatan, polis menahan suspek di tepi jalan Medan Bukit Emas, Bukit Mertajam, jam 7.15 malam kelmarin.

Katanya, hasil siasatan awal, suspek berusia 43 tahun yang mempunyai dua rekod jenayah lampau mengaku memuat naik kenyataan di akaun palsu itu.

“Suspek mengaku melakukan perkara itu menggunaka­n telefon bimbit miliknya dan ditahan polis bagi tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia