Enam doktor, pakar forensik dipanggil
Kuala Lumpur: Inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di Shah Alam, bermula hari ini.
Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu akan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah bersama-sama Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim.
Enam doktor dan pakar forensik, termasuk yang merawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN) dijangka dipanggil untuk memberi keterangan.
Mereka antara 30 saksi dalam inkues itu yang dijangka berlangsung 52 hari.
Saksi lain yang akan dipanggil ialah anggota bomba, polis, pasukan perubatan dan orang awam yang berada di tempat kejadian.
Tujuan utama prosiding inkues adalah untuk menentukan punca kematian.
Ia berbeza dengan prosiding perbicaraan kes di mahkamah.
Dalam prosiding inkues kematian tidak ada pihak seperti pendakwa raya dan tertuduh (seperti dalam kes jenayah) atau plaintif dan defendan (dalam kes sivil).
Pada masa sama, tujuan inkues bukan untuk mengadili mana-mana individu yang dituduh melakukan kesalahan, tetapi untuk mengenal pasti punca kematian.
Pada prosiding lalu, Rofiah membenarkan pihak berkepentingan iaitu peguam bagi ahli keluarga dan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengemukakan soalan.
Selain itu, peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ialah, Mansoor Saat manakala Majlis Peguam yang diwakili Roger Chan Weng Keng dan Cyrus Tiu Foo Woei.
Dalam pada itu, Rofiah mengingatkan semua pihak terutama berkepentingan yang terbabit dalam prosiding itu menghormati mahkamah.
“Elakkan keluarkan kenyataan seperti yakin (Muhammad) Adib mati dalam keadaan tertentu,” katanya.
Rofiah berkata, tindakan itu seolah-olah pihak terbabit mendahului mahkamah sedangkan prosiding inkues belum bermula.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, ditemui parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di IJN.