Harian Metro

Ibu tunggal buntu cari RM30,000 rawat 2 anak

-

Maran: “Saya tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bergantung kepada ayah serta wang bantuan zakat bagi membiayai kos rawatan dua anak,” kata Normala Syakila Arman, 21.

Kedua-dua anak Normala, Mohamad Haraz Ashraf Abdul Hafiz, 14 bulan, dan bayinya, Mohamad Hariz Ashraf berusia dua bulan, menghidapi penyakit jantung berlubang sejak lahir.

Ibu tunggal ini berkata, Mohamad Hariz turut mengalami masalah bengkak hati yang memerlukan­nya berulang alik ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) setiap bulan.

Katanya, sebelum ini, Mohamad Haraz sudah menjalani pembedahan menutup dua lubang pada jantung, namun perlu menjalani satu lagi pembedahan pada Mei depan untuk menutup satu lagi lubang pada jantungnya.

“Muhammad Hariz pula dijangka menjalani pembedahan menutup lubang pada jantungnya pada 28 Februari ini dan kos pembedahan RM30,000.

“Saya buntu untuk mendapatka­n wang bagi membiayai kos pembedahan termasuk tidak sampai hati saya mahu meminta bantuan ayah kerana gajinya juga kecil kerana bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Jengka 8.

Normala yang baru selesai tempoh berpantang berkata, dia berpisah dengan suaminya tahun lalu dan kini terpaksa memikul peranan sebagai ayah dan ibu terhadap kedua-dua anaknya.

Katanya, setiap bulan dia perlu berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur dan HoSHAS untuk menjalani pemeriksaa­n dan rawatan anaknya.

Meskipun tinggal bersama orang tuanya, Normala tidak mahu meletakkan beban kepada mereka kerana ibunya, Nor Kumalasari Chik, 40, perlu menjaga empat adiknya yang masih bersekolah.

“Anak bongsu saya memerlukan penjagaan rapi kerana perlu menggunaka­n tiub khas untuk minum susu dan ubat.

“Perbelanja­an ubat, susu dan lampin pakai buang mencecah RM1,000 sebulan, ini belum dicampur kos berulang alik ke IJN dan HoSHAS,” katanya yang menerima bantuan zakat RM1,000 untuk tempoh enam bulan.

Katanya, setiap kali berulang alik ke hospital, ia pasti menelan belanja sekitar RM200 manakala kos rawatan pula melebihi RM200.

Bagi orang ramai yang mahu membantu Normala boleh membuat demikian menerusi nombor akaun 0603702329­6993 (Bank Islam) atau menghubung­inya di talian 014-219 1292.

 ??  ?? NORMALA bersama dua anak yang menghidapi penyakit jantung berlubang sejak lahir.
NORMALA bersama dua anak yang menghidapi penyakit jantung berlubang sejak lahir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia