9 cara untuk hamil
Ovulasi adalah salah satu faktor utama dalam kesuburan. Setiap wanita (haid normal) mempunyai kira-kira enam hari dalam kitaran haid yang dipanggil waktu subur. Ketika ini, peluang untuk hamil lebih tinggi.
Jika seseorang itu mempunyai masalah untuk hamil, haid tidak tetap atau tidak dapat bersama suami dengan kerap, penting untuk mengetahui tempoh subur dirinya.
Bagaimanapun, menetapkan masa untuk seks supaya berlaku pada hari yang subur boleh membuatkan wanita lebih tertekan. Yakinlah seks yang kerap sepanjang kitaran haid sudah cukup untuk meningkatkan peluang hamil.
Berikut beberapa tip yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kesuburan bagi pasangan yang sudah tidak sabar untuk menimang cahaya mata.
1. Pastikan berat bersesuaian dengan ketinggian. Cuba kira
BMI (body mass index) anda. Pastikan BMI berada dalam lingkungan 19 hingga 24. Sekiranya terlalu kurus atau mempunyai berat badan berlebihan, ia boleh mengurangkan tahap kesuburan anda.
2. Amalkan gaya hidup sihat. Keduadua pasangan perlu mengelakkan tabiat merokok atau makan berlebihan. Cuba bersenam sekurangkurangnya tiga kali seminggu.
3. Lakukan hubungan seks sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Cubalah posisi berlainan untuk mengelakkan rasa bosan. Perlu diingat bahawa tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan posisi seks tertentu boleh meningkatkan kadar kehamilan.
4. Perhatikan diet anda. Pastikan anda mengambil makanan seimbang. Lebihkan hidangan tinggi serat, sayur-sayuran dan buah-buahan yang berwarna-warni (kuning, oren atau merah). Pastikan anda mengambil sumber protein dan kalsium.
5. Ambil asid folik sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil. Asid folik boleh membantu meningkatkan kesuburan dan mengurangkan risiko kecacatan tulang belakang bayi.
6. Ketahuilah waktu subur. Ini bersesuaian bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang teratur. Ketahui waktu subur untuk meningkatkan peluang hamil. Muat turut aplikasi bersesuaian di telefon bimbit dan kemas kini mengikut keperluan.
Ada banyak aplikasi yang memaparkan kalendar dan berupaya membantu anda mengira waktu subur tanpa perlu bersusah payah mencatat nota di kertas.
7. Elakkan atau kurangkan kopi. Cuba tukar kepada teh hijau yang mengandungi antioksidan dan elok untuk meningkatkan kesuburan.
8. Sentiasa kekal positif. Cuba kurangkan tekanan. Amalkan zikir dan rutin kecergasan bersesuaian.
9. Berjumpalah doktor untuk mendapatkan nasihat. Bawa sekali catatan kitaran haid untuk rujukan.